Monday, 29 June 2009

Ucapan Penangguhan : Projek Petrokimia dan Industri Maritim di Sungai Pulai

Petikan dari 29.06.09 mukasurat 129
7.11 mlm.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan terima kasih untuk memberi ucapan penangguhan di dalam Dewan yang mulia ini. Di sini, saya ingin menyuarakan tentang Projek Petrokimia dan Industri Maritim di Sungai Pulai. Saya rasa kecewa kerana projek berkenaan telah pun bercanggah dengan akta-akta dan polisi Malaysia yang diwartakan untuk melindungi sumber semula jadi. Kajian Pelan Perancangan Pembangunan Zon Pantai Selatan Negeri Johor yang telah dijalankan pada tahun 1991. Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara dan kajian Wetlands International dengan izin, telah mengatakan kawasan Sungai Pulai sebagai kawasan sensitif tahap pertama.

Mengikut definisi Akta Kualiti Alam Sekitar 1987, kawasan sensitif pertama tidak boleh digunakan untuk penanaman, pembalakan dan projek besar-besaran. Hanya projek impak kecil seperti sektor pelancongan, penyelidikan dan pendidikan boleh dijalankan. Kenapa projek-projek mega di tapak tersebut diluluskan? Mengikut seksyen 34(A) Akta Kualiti Alam Sekitar, pembangunan projek mega yang terdapat dalam lampiran empat perlu menjalani Laporan EIA terperinci. DEIA, pembalakan hutan paya bakau melebih 500 hektar. Dalam kes projek ini ialah 913 hektar perlu menjalani DEIA. Namun hanya komprehensif EIA dilaksanakan setakat ini dan mendapat kelulusan walaupun laporan itu serba kekurangan dan terdapat kesilapan ketara.

Jabatan Pengairan dan Saliran menetapkan bahawa pembangunan di kawasan hutan paya bakau persisiran pantai perlu mempunyai zon penampan sekurang-kurangnya 400 meter dari pinggir pantai. Dalam kes Sungai Pulai, projek petrokimia dan industri maritim dijalankan hingga ke pinggir sungai. Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa kawasan pembiakan perikanan dan dugong perlu dilindungi. Namun projek ini akan memusnahkan kawasan bakau serta rumput laut yang merupakan sumber makanan dan perlindungan haiwan terancam, dugong dan kuda laut.

Mengikut Protokol Persetujuan Ramsar Antarabangsa, negara kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga integriti, ekologi, tapak dan 410 di Sungai Pulai. Cadangan projek adalah kurang dari 1km dari tapak Ramsar Sungai Pulai. Mempunyai saiz lebih kurang 10% daripada tapak Ramsar. Maka risiko ancaman amat tinggi. Persetujuan Convention of Biological Diversity (CBD) dengan izin yang ditandatangani pada tahun 1994 oleh Malaysia akan tergugat oleh cadangan projek petrokimia dan industri maritim di Sungai Pulai. Ia mencerminkan ketiadaan komitmen kita di arena antarabangsa. Industri petrokimia akan memberi kesan ketara terhadap kesihatan penduduk yang duduk berhampiran lingkungan kurang dari 1km akibat pelepasan polycyclic aromatic hydrocarbon (PAH) dengan izin dan bahan toksik lain.

Cadangan projek petrokimia dan industri maritim di Sungai Pulai telah melanggar polisi dan Akta-akta Institusi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang dirangka untuk menjamin perlindungan sumber asli. Ia juga mengancam kesihatan penduduk sekitar. Saya menyahut bantahan daripada pihak NGO, penyelidik, para nelayan dan komuniti kampung untuk memberhentikan projek ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, sila Menteri jawab.

7.17 mlm.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar [Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat dari Bakri kerana menunjukkan minat dalam isu environmental impact assessment untuk industri petrokimia dan maritim di Sungai Pulai, Johor.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Laporan Kajian Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling atau Environmental Impact Assessment (EIA) untuk cadangan projek pembangunan industri petrokimia dan maritim di kawasan di Sungai Pulai telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 23 Julai 2007.

Kajian EIA ini mengambil kira kajian amalan impak cadangan langkah kawalan yang dicadangkan oleh pemaju projek di dalam laporan EIA. Kajian EIA ini adalah komprehensif dan telah mengenal pasti isu-isu kritikal secara terperinci serta telah memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekitar tahun 1974. Laporan EIA tersebut melibatkan penyelidikan tapak bagi pembangunan industri petrokimia dan maritim di Mukim Sungai Serkap. Untuk pembangunan industri ini di atas tapak projek, pemaju projek dikehendaki mengemukakan laporan EIA secara berasingan dengan skop kerja yang terperinci bagi memastikan impak pencemaran kualiti air, udara, bunyi bising dan sebagainya dapat dilihat lebih jelas.

Daripada segi konsepnya, pemaju projek telah mencadangkan aktiviti penstoran dan blending dan tidak melibatkan pelepasan gas atau bendasing ke udara. Untuk makluman Yang Berhormat juga, bersesuaian pembangunan dan jarak yang selamat atau zon penampan di antara aktiviti petrokimia dan maritim ini dengan penempatan penduduk adalah berdasarkan kepada keputusan ramalan impak di dalam kajian EIA. Kelulusan laporan EIA yang dikeluarkan kepada pemaju projek adalah dengan syarat-syarat yang cukup ketat dan langkah-langkah kawalan yang perlu dipatuhi oleh pemaju.

Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa isu-isu kritikal cadangan projek seperti impak kepada tanah lembap Ramsar Sungai Pulai yang bersempadan dengan tapak projek hutan paya bakau ekosistem Sungai Pulai dan kejadian banjir diambil kira sepenuhnya oleh pemaju dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Sekian dan terima kasih.

No comments:

Post a Comment