Thursday, 25 June 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 25-06-2009
SOALAN NO: 83

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan nisbah polis-penduduk, indeks jenayah dan bilangan kes selesai di setiap daerah di Johor pada tempoh tahun 2007, 2008 dan 2009. adakah PDRM Johor akan mengikut contoh seperti PDRM Kuala Lumpur yang memberikan maklumat indeks jenayah pada media pukul 3 petang setiap hari. Jika ya, bila.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Bakri yang mengemukan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi tahun 2007, jumlah penduduk negeri Johor ialah seramai 3,240,000 orang manakala kekuatan polis Kontinjen Johor ialah seramai 6,147 orang. Nisbah polis kepada penduduk ialah bersamaan 1: 527.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi tahun 2008, jumlah penduduk negeri Johor ialah seramai 3,312,000 orang manakala kekuatan polis Kontinjen Johor ialah seramai 6,301 orang. Nisbah polis kepada penduduk ialah bersamaan 1: 526.

Manakala, setakat bulan Mei tahun 2009, jumlah populasi penduduk negeri Johor ialah seramai 3,385,000 dan jumlah kekuatan polis Kontinjen Johor ialah seramai 6,415 orang iaitu bersamaan 1: 528.

Tuan Yang Dipertua,

Jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan di negeri Johor bagi tahun 2007 ialah sebanyak 26,841 kes. Jumlah kes yang tertinggi adalah dilaporkan di daerah Johor Bahru Selatan iaitu sebanyak 5,869 kes, manakala Mersing mencatatkan jumlah kes terendah iaitu sebanyak 237 kes. Manakala, jumlah kes yang berjaya diselesaikan pada tahun berkenaan ialah sebanyak 11,895 kes. Daerah Johor Bahru Utara berjaya mencatatkan penyelesaian kes tertinggi iaitu sebanyak 2,743 kes daripada keseluruhan 4,001 kes yang dilaporkan bagi tahun 2007, iaitu bersamaan 68.58%.

Bagi tahun 2008, jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan ialah sebanyak 26,624 kes. Jumlah kes yang tertinggi adalah dilaporkan di daerah Johor bahru Selatan iaitu sebanyak 6,110 kes, manakala daerah Mersing mencatatkan jumlah kes terendah iaitu sebanyak 260 kes. Manakala, jumlah kes yang berjaya diselesaikan pada tahun berkenaan ialah sebanyak 11,972 kes. Daerah Kota Tinggi berjaya mencatatkan penyelesaian kes tertinggi iaitu sebanyak 572 kes daripada keseluruhan 1,118 kes yang dilaporkan bagi tahun 2008, iaitu bersamaan 51.16%.

Manakala, bagi tempoh bulan Januari hingga Mei tahun 2009, sebanyak 9,849 kes jenayah indeks dilaporkan di negeri Johor. Jumlah penyelesaian kes yang dicatatkan bagi tempoh berkenaan ialah sebanyak 4,413 kes iaitu bersamaan 44.81%. Daerah Muar mencatatkan penyelesaian kes tertinggi iaitu sebanyak 291 kes daripada keseluruhan 566 kes yang dilaporkan, iaitu bersamaan 51.41%.

Tuan Yang Dipertua,

Buat masa ini, Polis Kontinjen Johor belum mencadangkan untuk mengikut jejak polis Kontinjen Kuala Lumpur yang memberikan maklumat indeks jenayah kepada media pukul 3 petang setiap hari. Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk menuju ke arah ini sedang dibuat dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment