Thursday, 18 June 2009

Ucapan Penangguhan : Struktur Kualiti Pembinaan Laluan Pintas Muar

Petikan dari DR.18.6.2009




■5.44 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Selamat petang Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengucapkan terima kasih untuk memberi ucapan penangguhan di dalam Dewan yang mulia ini.

Sebagai wakil rakyat kawasan Bakri, saya ingin menyuarakan kekecewaan atas struktur kualiti pembinaan jalan pintas Muar. Rakyat Muar pernah bermegah dengan projek laluan pintas ini yang pernah disifatkan sebagai lebuh raya dalam bandar pertama yang dibina di Johor.

Ditambah pula Laporan Ketua Audit Negara 2007 melaporkan Jabatan Tanah Negeri Johor telah terlebih bayar pampasan lapan lot tanah yang diambil alih. Antaranya RM11,680 sehingga RM651,140 berpandukan laporan Valuation and Property Services Dept. dengan izin. Kita pernah bermimpi laluan pintas akan selamat dan selesa digunakan umum, akan tetapi keadaan struktur kualiti laluan pintas ini amat tidak memuaskan. Seperti pepatah Melayu “Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, yang itu tidak termasuk dalam teks Yang Berhormat. Dalam teks yang dihantar sebelum ini. Baca yang dalam teks.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey, baik. Tambah sedikit. Minta maaf Tuan Yang di-Pertua. Masalah yang timbul adalah seperti berikut:-

(i) keadaan struktur jalan yang tidak rata dan berbonggol seakan laluan roller coaster. Terdapat tujuh tempat cembung dan 11 tempat cekung sepanjang laluan ini;

(ii) banjir atau air bertakung sehingga separa roda kereta selepas hujan terutamanya di persimpangan Jalan Bakri. Kesesakan berlaku dan keselamatan terjejas bila pemandu cuba mengelak daripada takungan air yang menjadi-jadi di sepanjang laluan ini;

(iii) tiga pagar pemisah yang rosak telah dilintasi oleh pengguna yang tidak menggunakan jejantas yang sedia ada amat membahayakan keselamatan pengguna. Menurut pakar jurutera awam, tanah lembut seperti tanah gambut perlu adakan kerja tambakan tanah yang lebih konkrit terutamanya untuk pembinaan jalan raya ditambah pula lapisan bawah tanah perlu ditambakkan batu atau keluli konkrit sebelum penurapan lapisan tar yang lebih tebal. Ingin saya bertanya kepada Yang Berhormat Menteri Kerja Raya apakah piawaian yang digunakan dan adakah laluan ini telah memenuhi segala piawaian serta apakah langkah-langkah segera untuk mengatasi masalah-masalah di atas untuk menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat. Rakyat Muar mengalu-alukan kedatangan Yang Berhormat Menteri Kerja Raya turun padang ke tapak projek ini untuk meneliti, memantau dan menilai kesempurnaannya.

Saya harap Yang Berhormat Menteri boleh nyatakan tarikh dan bilakah ke tapak ini. Rakyat akan bersama-sama mengenal pasti masalah yang timbul.

Akhir sekali, saya menyeru kepada Kerajaan Barisan Nasional bahawa tugas pemerintah yang direstui rakyat yang diperintah untuk memastikan rakyat dilindungi dan keselamatan dan kesejahteraan dijamin. Tugas menteri ialah melaksanakan yang terbaik untuk rakyat. Saya bukan mencari siapa benar siapa salah, tetapi sekadar mengenal pasti punca-punca masalah.

Akhir kata saya, seperti pepatah Melayu, “Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali” dan jangan menganiaya orang lain sebagaimana kita tidak mahu orang lain menganiaya kita. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Terima kasih Yang Berhormat.

Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri.

■5.48 ptg.
Timbalan Menteri Kerja Raya [Dato' Yong Khoon Seng]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat daripada Bakri atas ucapan penangguhan yang menyentuh bidang kuasa kementerian ini. Keprihatinan Ahli Yang Berhormat mengenai perkara ini adalah amat dialu-alukan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat projek jalan pintas Muar merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang telah disiapkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Skop projek ini ialah membina jalan pintas dua lorong berkembar daripada Jalan Sabak Aur ke Jalan Abdul Rahman dengan persimpangan searas dan persimpangan berlampu isyarat bagi persimpanganpersimpangan utama. Kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek ini ialah Ranhill Corporation Sdn. Bhd. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat dakwaan bahawa Pejabat Tanah dan Galian Johor terlebih bayar pampasan bagi projek laluan pintas Muar adalah tidak benar.

■1750

Laporan Ketua Audit Negara 2007 tersebut sebenarnya merujuk kepada bayaran balik tanah bagi beberapa projek lain di Muar yang melebihi daripada harga pasaran dan bukan terlebih bayar. Berhubung dengan keadaan struktur jalan yang tidak rata dan berbonggol, adalah dimaklumkan bahawa kajian terhadap kerosakan jalan tersebut telah mula dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya sejak bulan Januari 2008 setelah didapati berlakunya mendapan pada permukaan jalan di beberapa kawasan terutamanya di Jambatan Parit Tiram.

Mendapan ini telah menyebabkan berlakunya kerosakan turapan permukaan jalan atau pavement dan permukaan tanah yang tidak sekata. Susulan daripada kajian kerosakan yang telah dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya telah mengarahkan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja melaraskan permukaan jalan atau regulating bagi mengurangkan kesan beralun terutamanya di kawasan pembetung jalan.

Kerja-kerja pembaikan telah mula dijalankan pada bulan Ogos 2008 dan bagi masalah mendapan di kawasan pembetung dan Jambatan Parit Tiram telah siap dibaiki pada bulan September 2008. Kerja-kerja pembaikan mendapan di kawasan persimpangan dan di sepanjang jajaran jalan sedang dalam proses pelaksanaan. Memandangkan tempoh pemantauan bagi kerja-kerja pembaikan tersebut akan mengambil masa. Bon pelaksanaan projek ini telah dilanjutkan selama setahun iaitu sehingga bulan September 2009. Perakuan siap membaiki kecacatan juga tidak akan dikeluarkan kepada kontraktor sekiranya semua kecacatan dan mendapan di semua bahagian jalan dan jambatan dalam skop kerja kontraktor tidak dibaiki dengan sempurna mengikut spesifikasi dan disahkan oleh JKR.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Jabatan Kerja Raya tidak dapat mengarahkan kontraktor untuk membaiki kerosakan bagi memisahkan jalan sejenis ‘proofing’ wire loop atau wire rope kerana kerosakan tersebut berlaku akibat kemalangan jalan raya dan tidak termasuk dalam skop tanggungan kecacatan kontraktor. Walau bagaimanapun kerosakan tersebut akan dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya menggunakan peruntukan penyelenggaraan sedia ada bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Akhir sekali ingin dimaklumkan bahawa piawaian yang digunakan oleh Jabatan Kerja Raya dalam melaksanakan projek kerja reka bentuk geotechnical adalah berdasarkan kepada Nota Teknik Jalan 20/98. Pemakaian nota teknik ini adalah tertakluk kepada geotechnical manual first loop dengan izin 1984 dari geo Hong Kong. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, negara Hong Kong merupakan negara y maju dari segi pembangunan pengetahuan geo teknikal dan menjadi rujukan oleh negara ini dan lain juga, sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment