Thursday, 18 June 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 18-06-2009
SOALAN NO: 80

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan mengapa jarak zon industri petrokimia dan maritim di Sungai Pulai dibina kurang dari 1 km dari kawasan kampong di Kukim Serkat, Pontian memandangkan kajian menunjukkan bahawa penduduk-penduduk yang menetap lingkungan 3 km dari kawasan industri petrokimia menghadapi risiko tinggi menghidapi penyakit kanser dan kelahiran awal kepada bayi.

JAWAPAN:

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 23hb Julai 2007 melibatkan penyediaan tapak bagi pembangunan industri petrokimia dan meritim di Mukim Sungai Serkat, Pontian. Kajian EIA ini tiada menyatakan penduduk yang menetap dalam lingkungan 3 km menghadapi risiko tinggi penyakit kanser dan kelahiran awal kepada bayi.

Untuk pembangunan industri petrokimia dan maritim di atas tapak projek, pemaju projek dikehendaki mengemukakan laporan EIA secara berasingan dengan skop kajian yang terperinci bagi memastikan impak pencemaran kualiti air, udara, bunyi bising dan sebagainya dapat dilihat dengan lebih jelas. Dari segi konsepnya, pemaju projek telah mencadangkan aktiviti penstoran dan blending dan tidak melibatkan pelepasan gas dan bendasing ke udara.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kesesuaian pembangunan dan jarak yang selamat (zon penampan) di antara aktiviti industri ini dengan penempatan penduduk adalah berdasarkan kepada keputusan ramalan impak di dalam kajian EIA bagi pembinaan industri petrokimia dan maritim seperti yang dinyatakan di atats yang mengambilkira skop kajian kesihatan awam yang menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment