Thursday, 25 June 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 25-06-2009
SOALAN NO: 113

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI KERJA RAYA Menyatakan mengapa 60 peratus daripada Pintasan Muar mengalami struktur jalan yang tidak rata:-

(a) adakah terdapat kerosakan dan sejak bila kajian kerosakan dijalankan. Jika tidak, mengapa; dan

(b) bilakah kerja pembaikan akan dilaksanakan dan apakah tindakan yang sudah diambil terhadap Ranhill Corporation Sdn. Bhd. Kerana gagal melakukan pembaikan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, adalah diakui bahawa Jalan Pintasan Muar tidak sempurna pembinaanya. Kajian terhadap kerosakan Jalan itu telah mula dijalankan sejak bulan Januari 2008 setelah didapati berlakunya mendapan pada permukaan jalan di beberapa kawasan terutamanya di Jambatan Parit Tiram. Mendapan ini telah menyebabkan berlakunya kerosakan turapan permukaan jalan (pavement) dan permukaan tanah yang tidak sekata.

Susulan daripada kajian kerosakan yang telah dijalankan, pihak Jabatan Kerja Raya telah mengarahkan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja melaras permukaan jalan (regulating) bagi mengurangkan kesan beralun terutama di kawasan pembentung jalan. Kerja-kerja pembaikan telah mula dijalankan pada bulan Ogos 2008 dan bagi masalah mendapan di kawasan pembentung dan Jambatan Parit Tiram telah siap dibaiki pada bulan September 2008.

Kerja-kerja pembaikan mendapan di kawasan persimpangan dan di sepanjang jajaran jalan sedang dalam proses pelaksanaan. Memandangkan tempoh pemantauan bagi kerja-kerja pembaikan tersebut akan mengambil masa, Bon Pelaksanaan projek ini telah dilanjutkan selama setahun iaitu sehingga bulan September 2009. Perakuan Siap Membaiki Kecacatan juga tidak akan dikeluarkan kepada kontraktor sekiranya semua kecacatan dan mendapan di semua bahagian jalan dan jambatan dalam skop kerja kontraktor tidak dibaiki dengan sempurna mengikut spesifikasi dan disahkan oleh JKR.

No comments:

Post a Comment