Thursday, 25 June 2009

Ucapan Penangguhan : Penggunaan Teknologi Carbon In Leach (CIL) Bagi Pemprosesan Emas

petikan dari DR 25.06.2009 mukasurat 118

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Sila Yang Berhormat.

5.31 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Selamat petang kepada Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan untuk memberi ucapan di dalam Dewan yang mulia ini. Sebelum saya memulakan ucapan, saya di sini terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan Majlis Pesta Buah-buahan Tempatan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat baca teks ucapan Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Dalam Mac tahun 2007, Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd telah memulakan pembinaan kemudahan memproses emas menggunakan teknologi
“Carbon In Leach” walaupun terdapat bantahan tegas oleh masyarakat persekitaran di Bukit Koman. Pakar-pakar sains dan toksikologi alam sekitar dari Universiti Nevada dan telah membuat kajian ke atas PEIA berkenaan dan berdasarkan satu lawatan ke kampung tersebut. Kesimpulannya, ialah penduduk-penduduk mungkin mendapati bekalan air bawah tanah dan air permukaan tercemar akibat pemindahan bahan-bahan toksik daripada efluen dalam kolam efluen dan daripada tailings yang dirawat yang akan diletakkan dalam lubang terbuka memandangkan tidak adanya maklumat yang penting dalam PEIA berkenaan efluen dan tailings tersebut.

PEIA tersebut telah diluluskan 10 tahun dahulu dan dianggap lama dan ketinggalan
zaman sebab piawaian dalam industri perlombongan sendiri telah berubah, dan juga sebab terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa kemudahan yang dibina dan lombong tersebut adalah lebih besar daripada yang dinyatakan dalam PEIA tersebut. Penduduk –penduduk telah menulis kepada JAS supaya DEIA dikemukakan. JAS enggan membuat demikian. Pakar-pakar telah menunjukkan bahawa PEIA telah gagal untuk mengambil kira atau membincangkan impak projek tersebut ke atas penduduk-penduduk persekitaran, termasuk:

(i) PEIA berkenaan tidak mematuhi piawaian antarabangsa. Pencegahan dan semua maklumat perlu ada sebelum projek dimulakan dan alahan ini tidak dipatuhi;

(ii) projek tersebut diramalkan menjana 2 juta ton amang. Pada masa ini tidak terdapat sebarang maklumat tantang cara amang ini akan dibuang atau dilupuskan;

(iii) bahan-bahan buangan ini mengandungi logam berat toksik seperti arsenik, kadmium, dan merkuri daripada proses-proses sebelumnya. Butir-butir spesifik komposisi kimia bahan-bahan buangan ini tidak dibekalkan dalam PEIA;

(iv) akibat tahap mineral yang mengandungi sulfida yang mungkin terkandung dalam bahan buangan tersebut, ‘treated tailing’ tersebut mengemukakan satu masalah persekitaran yang dikenali sebagai ‘acid mine drainage’ (AMD) yang dapat meracuni sumber air di persekitaran untuk beratusan tahun.

Walaupun kes masih sedang didengar oleh mahkamah, RAGM telah pun memulakan
operasi pada bulan Februari 2009. Sejak bulan Februari, seramai 300 aduan dari penduduk tempatan dilaporkan telah jatuh sakit akibat pengeluaran asap beracun yang disyaki adalah sulfur dioksida. Gas sulfur dioksida ini telah menyebabkan pada penduduk tercekik, pening, loya, mengalami kesukaran pernafasan dan sakit kepala. Selain daripada impak fizikal, penduduk juga mengalami tekanan emosi yang serius. Aduan mengenai pencemaran yang berlaku telah dikemukakan kepada pihak-pihak berkuasa tetapi tiada sebarang tindakan yang sepatutnya diambil. Sebaliknya, penduduk menghadapi gangguan polis.

Enam penduduk termasuk plaintif-plaintif dalam tindakan undang-undang telah ditangkap pada lewat malam 20hb April 2009 dan ditahan bagi penyiasatan mencerobohan jenayah yang dikatakan berlaku semasa lawatan pakar-pakar pada bulan Jun 2008. Adakah RAGM menyediakan apa-apa jaminan-jaminan kewangan untuk menahan dan membersihkan sebarang pencemaran bahan toksik yang dihasilkan? Adakah RAGM tidak memberi sebarang bon untuk memastikan langkah-langkah pemulihan boleh dilaksanakan dengan betul sekiranya pencemaran berlaku? Dikatakan projek tersebut kini mungkin menjadi dua kali ganda lebih besar daripada projek asal untuk mana PEIA diluluskan, menyebabkan PEIA tersebut lama dan ketinggalan zaman. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Sila Yang Berhormat Menteri.

Datuk Douglas Uggah Embas: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang
Berhormat dari Bakri. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, kaedah “Carbon In Leach” yang diamalkan oleh syarikat lombong emas telah dikaji dan diteliti oleh Jabatan Alam Sekitar semasa memproses Laporan EIA cadangan projek tersebut. Rujukan telah dibuat kepada pihak-pihak berkuasa luar negara seperti United State Environmantel Protection Agencies dan Department of Mineral and Energy Western Australia dengan izin yang lebih berpengalaman agar operasi perlombongan tersebut benar-benar dapat mematuhi kehendak peraturan dan perundangan Jabatan Alam Sekitar.

Setelah pihak Jabatan Alam Sekitar mendapati teknologi “Carbon In Leach” dengan izin
tidak akan menjejaskan alam sekitar, maka laporan EIA diluluskan. Jabatan Alam Sekitar mendapati bahawa kebimbangan yang dikemukakan oleh penduduk Kampung Sungai Liur, Raub Pahang terhadap penggunaan bahan kimia cyanide pelombong emas Bukit Koman ini telah diambil kira dalam laporan EIA tersebut. Dalam kajian laporan EIA yang dikemukakan oleh pemaju projek dinyatakan dengan jelas langkah-langkah tempatan atau mitigation, mitigating majors dengan izin yang perlu diambil dalam penggunaan cyanide. Air yang digunakan dalam pemprosesan emas yang mengandungi cyanide disalirkan ke kolam mendapan serta di kitar semula. Tidak ada efluen dibenarkan keluar.
1740
Kolam mendapan tersebut untuk menyimpan bahan logam toksik termasuk sulfida dibina
mengikut piawaian antarabangsa. Dalam mereka bentuk kolam mendapan ini, Syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. telah melantik juru perunding antarabangsa iaitu ... Resources Private Limited dari Afrika Selatan supaya mereka dapat mematuhi standard-standard yang ditetapkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
Di samping itu, kolam ini juga dilengkapi dengan sistem pengesan kebocoran. Pihak
pelombong juga menyediakan sistem rawatan air, kecemasan sebagai pelan kontingensi jika berlaku affluent yang terkeluar. Alat tetap untuk memantau cyanide juga dipasang di samping penganalisisan harian ke atas sampel air di lokasi yang telah ditetapkan.

Aktiviti melombong emas tidak memerlukan kajian EIA yang terperinci. Laporan EIA bagi projek lombong emas tersebut telah diluluskan berdasarkan kepada langkah-langkah kawalan yang dicadangkan berupaya mencegah dan mengawal pencemaran. Kementerian ini sentiasa mengawasi keberkesanan langkah-langkah kawalan pencemaran yang dilaksanakan oleh syarikat ini secara berjadual dan pada bila-bila masa supaya syarikat lombong emas tersebut mematuhi semua syarat EIA yang telah dikenakan ke atasnya.

Untuk makluman Yang Berhormat pada hari ini adalah 25 Jun 2009, satu mesyuarat bagi
meneliti kes aduan berhubung kesan bahaya penggunaan haram cyanide dalam aktiviti
melombong emas di Bukit Koman terhadap kesihatan penduduk telah diadakan di Pejabat Biro Pengaduan Awam Negeri Pahang. Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ia dihadiri oleh wakil-wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang, Pejabat Daerah Raub, Aktivis Alam Sekitar serta turut dihadiri oleh berapa orang awam dan wakil-wakil media.

Mesyuarat tersebut telah memutuskan bahawa Syarikat RAGM telah mematuhi semua
garis panduan yang ditetapkan. Tidak ada kesan keracunan cyanide ditemui. Penggunaan
cyanide dalam aktiviti melombong oleh syarikat tersebut juga tidak menjejaskan kesihatan penduduk setempat seperti diadukan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemajak telah pun membayar sejumlah RM25,875 kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang sebagai bon untuk tujuan mengambus dan merata. Dalam hal ini, tuduhan dalam artikel yang disiarkan oleh Malaysia Kini pada 24 Jun 2009 adalah tidak benar sama sekali, khususnya dalam penghantaran cyanide dari pelabuhan ke premis syarikat melombong emas. Pengangkutan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan antarabangsa, iaitu International Cyanide Management Code For The Manufacture, Transport and Use of Cyanide in The Production of Gold.

Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang sentiasa
menentukan bahawa apa-apa kegiatan industri di negara ini termasuk aktiviti melombong emas tidak akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kerajaan telah mewujudkan undang-undang dan garis panduan untuk mengawal aktiviti perindustrian serta perlombongan emas. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment