Wednesday, 13 January 2010

Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas Di Bukit Koman Dipantau

RAUB, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains akan sentiasa memantau tahap penggunaan bahan kimia jenis sianida yang digunakan oleh syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) untuk kegiatan perlombongan di Bukit Koman di sini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Yunus Abd Razak.

Beliau berkata bagi memastikan penggunaan sianida tidak membahayakan kesihatan penduduk dan mengundang pencemaran alam sekitar, data yang dikumpul syarikat berkenaan dibandingkan dengan data yang dikumpul oleh jabatan itu.

"Pihak kami membuat persampelan di kawasan itu setiap dua minggu dan data itu kami bandingkan dengan data yang diperoleh oleh pihak syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup melawat kawasan perlombongan RAGMSB di sini pada hari Rabu.

Yunus berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan penggunaan bahan kimia itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan penduduk dan pencemaran alam sekitar.

"Kita memantau keadaan itu di mana pihak syarikat mengutip data setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan dan menyerahkan kepada pihak kami data itu bagi memastikan penggunaan sianida oleh RAGMSB tidak membahayakan penduduk," katanya.

Yunus berkata setakat ini tidak ada hasil yang menunjukkan penggunaan bahan kimia itu memudaratkan penduduk, namun sekiranya terbukti dakwaan penduduk itu benar, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap RAGMSB.

Kurup hari ini melawat kawasan perlombongan emas RAGMSB bagi meninjau sendiri projek perlombongan itu yang didakwa penduduk kampung telah menjejaskan kesihatan penduduk akibat bahan kimia sianida yang digunakan kilang terbabit.

Pada Jun tahun lepas Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Bukit Koman mengemukakan memorandum kepada kerajaan, antara lain mengadu mengalami masalah kesihatan, dipercayai berpunca daripada pengunaan sianida di lombong emas yang mula beroperasi sejak awal tahun 2009.

Penduduk mahu operasi lombong emas itu dihentikan serta merta dan mereka diberi rawatan kesihatan.

Sementara itu, Joseph yang diberikan taklimat oleh pihak pengurusan RAGMSB mengenai aktiviti perlombongan itu, berkata penduduk Kampung Bukit Koman tidak perlu khuatir dengan operasi harian di lombong itu kerana kadar penggunaan sianida adalah sedikit dan tidak memudaratkan kesihatan penduduk.

"Apa yang saya lihat dalam tinjauan hari ini, lombong ini beroperasi baik di mana ia tidak menjejaskan kesihatan penduduk dan alam sekitar, tiada apa-apa masalah yang berlaku," katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Tras, Choong Siew Onn; Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Rosnani Ibarahim serta wakil penduduk Kampung Bukit Koman.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Hellο it's me, I am also visiting this web page on a regular basis, this web site is really fastidious and the users are actually sharing fastidious thoughts.

    Have a look at my blog ... payday loans

    ReplyDelete