Friday, 8 January 2010

Lawatan Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Ke Tapak Perlombongan Emas Di Bukit Koman, Raub Pada 12hb Jan 2010

Saya telah mengemukakan persoalan tentang masalah perlombongan emas di Bukit Koman, Raub yang telah membawa kepada masalah pencemaran alam sekitar dan ancaman kepada kesihatan penduduk tempatan kepada Kementerian Sumber Asli dan alam Sekitar dalam peringkat pembahasan, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, di dalam Dewan Rakyat. Timbalan Menteri SAAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup telah menerima pelawaan saya turun pandang ke tapak tersebut untuk memafami keadaan sebenar dan mengenalpastikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan.

Tarikh lawatan awal yang ditetapkan ialah pada pukul 10 pagi, 11hb Jan 2010. Atas sebab-sebab tertentu, Timbalan Menteri telah merubah tarikh lawatan kepada 12hb Jan pada minggu lepas. Setelah menerima surat rasmi daripada Kementerian SAAS, saya telah mempelawa secara rasmi Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen selaku Ahli Parliment Raub yang perihatin untuk turut serta dalam lawatan ini demi memperjelaskan kemusykilan penduduk tempatan atas isu perlombongan emas tersebut.

Raub Australia Gold Mining Sdn. Bhd. telah menggunakan cara CIL (Carbon In Leach) dalam kerja pemprosesan emas pada Feb 2009 tanpa ambilkira kesihatan penduduk tempatan. Dalam cara pemprosesan CIL ini, selain “activated carbon” sebagai satu agen yang dikatakan lebih selamat, dua jenis agen lain yang merbahayakan iaitu “sodium cyanide” dan “hydrocloric asid” yang bertoksin telah digunakan tanpa penjelasan dan pengumuman tentang bahayanya kepada masyarkat awam.

Ahli Parliment Seputeh, Sdr. Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parliment Kepong, Sdr. Dr Tan Seng Giaw pernah membentangkan persoalan tentang bahayanya menggunakan cara CIL dalam Dewan Rakyat pada sidang Jun dan Nov, 2007. Jawapan daripada SAAS ialah “sodium cyanide” akan berubah kepada bahan kimia yang kurang toksin apabila terdedah di bawah cahaya ultra unggu matahari tanpa menyentuh tentang ancaman alam sekitar yang diakibatkan oleh “sodium cyanide”. Air yang digunakan dalam pemprosesan emas tersebut ialah daripa punca mata air bawah tanah menerusi 7 telaga yang bersinanbungan yang mana masalah pencemaran air bawah tanah yang serius akan berlaku sejak operasi pemprosesan emas dimulakan. Dimaklumkan bahawa salah satu daripada telaga air berkenaan cuma berjarak 1km dari Hospital Besar Raub. Dalam Projek Pemindahan Air Mentah Antara Negeri (ISRWT) antara negeri Pahang dan Selangor, punca pengambilan air ialah di Empangan Klau yang jaraknya kurang 20 km daripada tapak lombong emas tersebut. Sekiranya berlaku kebocoran “sodium cyanide” dan “hydrocloric acid” di bawah tanah, toksinnya akan terserap ke mata air bawah tanah dan merebak sehingga negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Bayangkan mudarat yang akan mengancam nyawa berjuta-juta warga kelak jika dibiarkan lombong emas tersebut beroperasi dengan kerajaan hanya mendapat keuntungan jangka pendek. Apakah pendirian kerajaan dalam menjamin keselamatan nyawa penduduk dalam jangkamasa panjang ?

Selain itu, “hydrocyanic acid” yang berperisa pahit akan terhasil bila “sodium cyanide” bertembung dengan wap lembab. Toksinya tidak berwarna dan tidak busuk dan boleh membunuh sesuatu nyawa pada bila-bila masa sahaja. Malaysia merupakan negara Khatulistiwa yang mana cuacanya panas dan lembab sepanjang tahun. Bila berlakunya kebocoran “sodium cyanide”, nyawa 2 ribu penduduk Kg. Bukit Koman dan lebih 40,000 penduduk Raub akan terancam. Sehingga hari kerajaan masih tidak mengadakan langkah-langkah keselamatan dan memasang alat pemantauan untuk menjamin keselamatan penduduk tempatan. Cuma sekali sahaja alat pemantauan udara dipasang selama 8 hari seakan menandakan kerajaan telah terlaksana tanggungjawab sepenuhnya.

Pemilik besar Raub Australia Gold Mining ialah Dato Seri Andrew Kam Tai Yeow, anak kepada bekas setiausaha MCA, Kam Woon Wah. Laporan audit tahunan syarikat ini menyatakan bahawa lombong ini masih boleh diusahakan selama 4 tahun lagi dan keuntungan yang dijangkakan ialah sebanyak RM 100 juta/tahun. Namum, syarikat kroni ini tidak melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk membekalkan rangkain jaring keselamatan untuk mengekang kebocoran bahan kimia berlaku. Apabila lombong ini ditutup kelak, bahan toksin akan kekal di hujung lombong (tailing). Tumbuh-tumbuhan dan haiwan liar di sekitarnya akan mati keracunan. Adakah syarikat kroni berkenaan sanggup mengorbankan nyawa penduduk tempatan yeng telah bermastautin lebih 100 tahun di sana demi mengaut keuntungan jangka pendek ?

Jawatankuasa Anti-cyanide Bukit Koman pernah mengemukakan dakwaan di makhamah untuk mengadakan “judical review” untuk mengenalpastikan “preliminary enviromental impact assesment”(PEIA). Tetapi pada 1hb., Jun, 2009, Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Makhamah Tinggi, Hakim besar Datuk Lau Bee Lan, telah menolak petisen tersebut dengan alasan laporan alam sekitar telah diwartakan pada tahun 1997 dan tempoh rayuan telah tamat. Oleh itu kes ini tidak akan didengar lagi. Baru-baru ini, Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah bukan khas untuk umat Islam di Makhamah Tinggi. KDN telah berjaya mendapatkan perintah makhamah dalam masa 3 hari sahaja supaya keputusan makhamah ditangguhkan. Ini memberikan ikhbar bahawa kerajaan pusat lebih mengutamakan penggunaan perkataan Allah daripada nyawa rakyat Malaysia yang sentiasa diancam oleh bahaya toksi. Nyawa penduduk Bukit Koman khasnya dan penduduk sekitar Raub amnya seakan “abu di atas tunggul” tidak dihiraukan langsung.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Firman Allah s.w.t bahawa, Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata) : “Adakah Engaku (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Mu dan mensucikan Mu ?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang tidak mengetahuinya”. (2 Baqarah:30).

وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَوَفِي أَنفُسِكُمْ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (51.Az-Zariyat: 20-21).

Dalam ajaran Islam, Tuhan telah mengurniakan bumi untuk manusia dan memandatkan manusia sebagai khalifah untuk menguruskan bumi mengikut hukum Allah s.w.t.. Tetapi hakikatnya isu penggunaan toksin dalam perusahaan perlombongan emas di Bukit Koman menunjukkan manusia telah membelakangkan takdir Tuhan dengan merosakkan bumi yang suci ini. Adakah kerajaan, wakil rakyat dan pemimpin tempatan serta usahawan masih mengikut mandat rakyat dan takdir Tuhan ?

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada kerajaan BN untuk merealisasikan konsep PM Dato Seri Najib, “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan” di samping sentiasa menghayati asas ajaran agama masing-masing. Penduduk tempatan sentiasa mengalu-alukan jawapan dan penyelesaian yang berperikemanusian daripada kerajaan BN.

Er Teck Hwa.
Ahli Parliment Bakri
07/01/2010

No comments:

Post a Comment