Wednesday, 25 March 2009

Usul Menangguhkan Mesyuarat : Pemberian Insentif Kepada Petani dan Penternak

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT
DI BAWAH P.M. 18(1)
PEMBERIAN INSENTIF KEPADA PETANI DAN PENTERNAK

10.07 pg.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Selamat pagi Tuan Yang di-Pertua. Pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Dengan segala hormatnya, saya dengan ini memberi notis pemberitahu di bawah P.M.18(1) bagi mengemukakan usul yang berbunyi seperti berikut:-

"Bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada Mei 2008 insentif akan diberikan kepada petani dan penternak bermula dari Jun 2008. Manakala pada bulan Jun 2008 jabatan berkenaan menyatakan bahawa penternak komersial ayam pedaging yang melebihi 20,000 ekor tidak diberikan insentif berkenaan.

Polisi berkenaan telah pun mempengaruhi sebanyak setengah daripada jumlah penternak ayam pedaging di Semenanjung Malaysia dan menyebabkan banyak ladang-ladang ternakan yang beroperasi dengan pendapatan negatif atas kenaikan kos. Tema pemberian insentif ini adalah satu langkah kerajaan untuk menjamin keselamatan makanan negara kita.

Sekiranya insentif penternak ayam pedaging ini digugurkan, ia sendiri akan bercanggah dengan dasar kerajaan. Malaysia walaupun tidak mempunyai sumber-sumber makanan haiwan yang mencukupi, industri ternakan ayam pedaging telah menjadi satu sektor yang boleh dibanggakan. Penternak-penternak berkenaan bukan sahaja dapat membekalkan daging ayam yang mencukupi malah ia juga merupakan sumber daging yang termurah.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan dapat memberikan tumpuan yang lebih adil kepada sektor ini. Kenaikan harga bijirin, ubat-ubatan, bahan-bahan binaan dan sebagainya telah meningkat dan kos pengeluaran sektor pengeluaran ayam pedaging dengan begitu nyata. Pengguguran penternak-penternak ayam pedaging dari senarai yang layak menerima insentif tersebut adalah keputusan yang salah.

1010

Untuk meningkatkan bebanan penternak insentif tersebut seharusnya disalurkan kepada mereka selaras dengan dasar pemberian insentif ini. Ia juga seterusnya dapat menjamin bekalan daging ayam yang mencukupi di pasaran. Pertubuhan Penternak Negeri Johor telah berulangulang kali menulis surat rayuan, berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengadakan sesi dialog tetapi sampai hari ini tiada apa-apa tindakan diambil oleh kementerian berkenaan. Sekiranya kerajaan enggan menyelesaikan masalah tersebut di atas ia akan mengakibatkan banyak ladang ternakan terpaksa berhenti beroperasi. Penternak-penternak juga mungkin akan mengadakan tunjuk perasaan dan seterusnya menjejaskan imej negara.

Oleh itu Dewan ini haruslah membahaskan usul ini supaya polisi insentif berkenaan haruslah diubah bagi manfaat semua pihak. Sekian. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Yang Berhormat Ahli Kawasan Bakri hari Isnin 23 Mac 2009. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat pada hari ini, saya sebagai Yang di-Pertua hendak berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat, bahawa:

(i) perkara itu tertentu;

(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan

(iii) ia berkehendak disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini perkara tertentu dan ia adalah bagi kepentingan orang ramai. Walau bagaimanapun perkara ini tidak perlu disegerakan kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan bahawa kementerian telah menerima permohonan dan rayuan daripada penternak ayam daging komersial dan kini sedang meneliti cadangan untuk membayar insentif pengeluaran kepada penternak ayam komersial. Dengan tindakan ini saya berpuas hati bahawa usul ini tidak perlu disegerakan.

Oleh yang demikian saya menolak usul ini di bawah usul peraturan Mesyuarat 18(2).

No comments:

Post a Comment