Thursday, 19 March 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 19-03-2009
SOALAN NO: 8

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah kes penipuan melalui telefon bimbit/talian tetap telah dilaporkan pada tahun 2006, 2007 dan 2008. Berapakah kes penipuan ini telah diselesaikan dalam tempoh tersebut. Adakah kerajaan telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini. Jika ya, jelaskan langkah-langkah yang telah diambil. Jika tidak, mengapa.

JAWAPAN:

Tuan Yang DiPertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Bakri yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli yang berhormat dan Dewan Yang Mulia ini, pada tahun 2006, sebanyak 318 kes penipuan melibatkan sistem pesanan ringkas atau SMS Scam dilaporkan kepada pihak polis. Jumlah kerugian yang dialami dianggarkan sebanyak RM548,725.27. Bagi tahun 2007, sebanyak 965 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2,155,720.91. Manakala, bagi tahun 2008, sebanyak 728 kes bethubung penipuan melalui SMS dilaporkan kepada pihak polis. Jumlah kerugian adalah dianggarkan sebanyak RM1,842,422.68. Semenjak tahun 2006 hingga tahun 2008, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket yang bergiat aktif dalam Scam/Penipuan SMS Akademi Fantasia (AF4), SMS Maxis, Celcom, Digi, Petronas, Shell, ASTRO, Audisi KDI 4, Power Root dan Gang Starz. Seramai 55 orang iaitu melibatkan 43 orang lelaki dan 12 orang perempuan telah ditangkap atas kesalahan ini.

Tuan Yang Dipertua,

Bagi mengekang penularan Scam Penipuan SMS ini, pihak polis telah ,mengambil langkah-langkah seperti mengadakan kerjasama dengan pihak syarikat telekomunikasi seperti Telekom, Maxis, Digi dan Celcom. Pelanggan-pelanggan mereka diingatkan atau dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sms-sms peraduan yang hanya diada-adakan oleh sindiket tertentu. Peringatan ini dihantar kepada pelanggan-pelanggan mereka melalui SMS ke telefon bimbit mereka. Selain itu, melalui kerjasam yang dijalinkan dengan pihak bank, notis-notis amaran scam Penipuan SMS ditampal di mesin ATM supaya boleh dilihat oleh pelanggan-pelanggan yang menggunakan mesin ATM. Ini boleh mengingatkan pelanggan agar tidak terpedaya dengan penipuan sms ini. Hebahan turut dibuat melalui media cetak dan elektronik supaya masyarakat mempunyai pengetahuan tentang Scam Penipuan SMS dan diharap mereka tidak mudah terpedaya atau mengalami kerugian. Kerjasama turut dijalinkan di antara PDRM dan pihak POLRI (Polis Diraja Indonesia) memandangkan berdasarkan kepada hasil siasatan yang dijalankan, kebanyakan SMS yang diterima oleh mangsa-mangsa dihantar dari negara berkenaan.

No comments:

Post a Comment