Saturday, 21 March 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 16-02-2009 ~ 19-03-2009
SOALAN NO: 375

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan berapa jumlah kompaun yang dikeluarkan dan wang kompaun yang dikutip oleh JPJ pada tahun 2006, 2007 dan 2008. Jelaskan secara terperinci dengan jenis kenderaan, umur pemandu dan jenis kesalahan yang terlibat pada tempoh tersebut. Adakah cara menyaman ini berkesan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya. Jika ya, mengapa?

JAWAPAN:

Jumlah kes yang dikompaun di seluruh Malaysia pada tahun 2006 adalah sebanyak 180,462 kes dengan kutipan kompaun sebanyak RM39,996,503 manakala pada tahun 2007 sebanyak 213,864 kes dicatatkan dengan kutipan kompaun sebanyak RM36,992,430. Bagi tahun 2008, sebanyak 260,275 kes dicatatkan dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM37,929,785.


Tahun

Bilangan Kes

Kutipan Kompaun (RM)

2006

180,462

39,996,503

2007

213,864

26,992,430

2008

260,275

37,929,785



Butiran terperinci mengenai jenis kenderaan yang terlibat dengan kesalahan kompaun bagi tahun 2006 hingga 2008 adalah seperti berikut:


Jenis Kenderaan

2006

2007

2008

Kenderaan barangan

120,775

83,913

197,423

Motosikal

101,729

94,051

104,139

Kereta Persendirian

56,244

31,984

47,471

Lain-lain kenderaan

38,533

17,470

38,533

Jumlah Besar

317,281

227,418

387,566


Jenis-jenis kesalahan kompaun yang diambil tindakan adalah seperti berikut:

- memandu tanpa lesen atau lessen memandu tamat tempoh;

- menggunakan lesen memandu palsu;

- memandu kenderaan yang tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM);

- LKM telah tamat tempoh;

- menggunakan LKM palsu;

- membawa lebih muatan bagi kenderaan perdagangan;

- menggunakan kaca gelap tanpa kelulusan; dan

- lain-lain kesalahan lalu lintas.

Berhubung dengan maklumat umur pemandu yang melakukan kesalahan, adalah dimaklumkan JPJ tidak mempunyai sebarang rekod mengenai maklumat umur pemandu ini.

Penguatkuasaan dengan cara mengambil tindakan saman sememangnya berkesan dalam usaha mencapai maklumat menjaga keselamatan jalan raya kerana ia dapat membendung pemandu dan pengguna jalan raya daripada mengulangi kesalahan yang mereka lakukan. Di samping itu, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya iaitu:

i. Kejuruteraan dengan merawat ‘blackspot’ atau tempat yang sering berlakunya kemalangan jalan raya;

ii. Pendidikan melalui advokasi dan kempen yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran telah menjadikan keselamatan jalan raya sebagai satu sukatan mata pelajaran bermula dari darjah/tahap satu sekolah rendah; dan

iii. Penguatkuasaan dengan mengadakan operasi secara bersepadu bersama PDRM, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, JPJ mempunyai tanggungjawab yang berat bagi memastikan setiap pemandu dan pengguna jalan raya mematuhi keselamatan jalan raya. Bagi mencapai maklumat tersebut, JPJ telah melaksanakan penguatkuasaan melalui operasi sekatan jalan raya, Operasi Khas, Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain, rondaan serta mengadakan temu siasat hasil aduan orang awam.

No comments:

Post a Comment