Tuesday, 27 October 2009

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA


12.
Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah bajet yang dibelanjakan sejak kempen pasang tali pinggang keledar untuk penumpang belakang
dilancarkan:-

(a) nyatakan senarai jenis perbelanjaan yang telah dilakukan; dan

(b) kenapa penguatkuasaan masih tidak dijalankan sungguhpun pemasangan percuma telah diberikan kepada jenis kenderaan tertentu.

Timbalan Menteri Pengangkutan I [Datuk Abdul Rahim bin Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat di atas soalan tersebut. Untuk
pengetahuan Yang Berhormat, perbelanjaan kempen pemakaian tali pinggang keledar penumpang bagi tempat duduk belakang yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya adalah dalam lingkungan RM8 juta. Perbelanjaan yang dibuat adalah bagi kerja-kerja seperti berikut:

(i) penyiaran iklan-iklan di televisyen, radio, akhbar dan panggungpanggung wayang; dan

(ii) program kempen dan advocacy atau public engagement oleh JKJR dari peringkat ibu pejabat, pejabat-pejabat negeri di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua, bagi pertanyaan Yang Berhormat yang kedua adalah dimaklumkan bahawa pemasangan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang secara percuma hanya melibatkan tiga syarikat pengeluar kenderaan iaitu Proton, Perodua dan Honda yang mana kos pemasangan adalah ditanggung oleh syarikat pembuat yang berkaitan iaitu memberinya secara percuma.

Berkaitan dengan persoalan penguatkuasaan masih belum dijalankan, kerajaan telah bersetuju untuk memberi tempoh pemasangan selama tiga tahun mulai dari 1 Januari 2009 dan berakhir pada 31.12.2011.

Bagi kenderaan yang belum dipasang dengan tali pinggang keledar belakang dan langkah ini adalah supaya tidak memberikan bebanan kepada golongan yang terlibat dengan
pelaksanaan dasar baru kerajaan itu. Selepas tempoh tersebut, iaitu pada 31.12.2011, manamana kenderaan yang gagal memasang tali pinggang keledar di tempat duduk belakang pada kenderaan mereka akan disaman dan dikenakan tindakan undang-undang. Terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri. Soalan saya ialah dari kajian kempen pasang tali pinggang keledar untuk penumpang belakang, berapakah nyawa yang dapat diselamatkan semasa kemalangan dan juga saya ingin tahu, mengapa tiada kawalan keselamatan untuk penumpang belakang keempat, kelima dan keenam? Terima kasih.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Terima kasih Yang Berhormat di atas soalan tersebut. Setakat ini kami tidak ada apa-apa kajian tentang perkara tersebut, tetapi pada dasarnya apabila seseorang penumpang itu memakai tali pinggang keledar, sama ada di hadapan ataupun di belakang, ianya sudah tentu akan membantu penumpang tersebut daripada mengalami kemalangan teruk ataupun kematian kerana dengan pemakaian tali pinggang keledar itu akan melindungi penumpang tersebut sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.

Tuan Aaron Ago Dagang [Kanowit]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya akan merujuk kepada penguatkuasaan. Saya telah menerima banyak panggilan daripada
mereka yang telah disaman oleh polis ataupun JPJ kerana tidak memakai tali pinggang belakang dan masalah ini kalau mengikut jawapan Timbalan Menteri tadi penguatkuasaan ini akan ditetapkan pada hujung tahun 2011, dan saya telah difahamkan bahawa sesetengah model kereta yang sudah memasang tali pinggang ini, penguatkuasaan ini telah dijalankan. Inilah jadi masalah. Bolehkah Timbalan Menteri menerangkan kepada Dewan ini model-model kereta manakah yang telah dipasang tali pinggang keledar dan yang belum dan bagaimana masalah ini boleh timbul? Terima kasih.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya untuk pengetahuan Yang Berhormat, berdasarkan kepada kajian yang telah dibuat oleh MIROS ataupun Malaysian Institute of Road Safety menunjukkan bahawa 90% daripada kenderaan-kenderaan persendirian yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 telah pun dilengkapi dengan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.
1130
Apa yang saya katakan tadi yang telah diberikan penguatkuasaan itu adalah bagi kenderaan-kenderaan dan mereka yang diberi grace period sehingga 2011 untuk memasang tali pinggang keledar bagi tempat duduk belakang dan sekiranya mereka tidak memasang, mereka akan dikenakan saman dan juga didenda RM300. Akan tetapi bagi mereka yang telah pun mempunyai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang sebenarnya pihak penguat kuasa telah pun mengambil tindakan untuk menguatkuasakannya iaitu khususnya kepada polis sehingga Ogos 2009 misalnya, pihak polis telah pun mengeluarkan 803 saman di atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.

Jadi saya percaya ini adalah jelas bahawa bagi kenderaan-kenderaan yang tidak dilengkapkan dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang ini, mereka diberikan grace period sehingga 2011 dan kita bersyukur kerana ada tiga syarikat kenderaan yang bersetuju memasangnya dengan percuma iaitu Honda, Proton dan Perodua. Sekiranya kesemua mereka ini... Kita berharap dalam tahun 2011 itu kesemua kenderaan di negara ini adalah dipasang dengan kemudahan tersebut. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment