Monday, 5 October 2009

Bagai Jelongak Kerbau Rampung: Jawatan KM digilir ikut formula baru

Kenyataan Ketua Pemuda PKR juga ahli parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff (gambar kanan) bahawa formula kepimpinan yang digunakan oleh BN-UMNO yang menjunjung agenda perkauman telah ditolak oleh rakyat, citra kepimpinan politik baru oleh Pakatan Rakyat telah disahut baik oleh masyarakat yang berbilang kaum telah diputarbelitkan oleh media perdana, Berita Harian sebagai jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sudah sampai masanya ditukar dengan digilirkan oleh semua kaum selaras dengan prinsip perjuangan gagasan PR, iaitu keadilan untuk semua.

Sekali lagi seorang pemimpin muda yang berdarah keadilan dan berjiwa rakyat yang menolak kepimpinan BN-UMNO yang bersifat perkauman dan hipokrit telah difitnah oleh media perdana yang motif utamanya ialah menanam perasaan syak wasangka dalam kepimpinan PR di samping cuba membunuh kerjaya politik seorang pemimpin muda.

Agak malangnya, setiausaha kepada Ketua Menteri Pulau Pinang juga Ahli DUN Komtar, Ng Wei Aik telah mengeluarkan kenyataan yang melulu selepas kenyataan akhbar Berita Harian tersebut. Yusmadi telah dituduh sebagai gila kuasa dan berjiwa perkauman. Formula jawatan Ketua Menteri tidak akan ditukar kerana jawatan tersebut telah disandang oleh kaum Cina sejak dulu dan bekas Perdana Menteri, Abdullah Badawi sanggup menolak niat akar umbi UMNO Pulau Pinang untuk menyandang jawatan tersebut. Tindakan Ng agak tidak masuk akal kerana sudah dimaklumkan awal oleh Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa akhbar seperti Berita Harian perlu diboikotkan kerana sentiasa memutarbelitkan kenyataan dan imej PR.

Ng (gambar kiri) sepatutnya merujuk kepada Yusmadi sebelum membuat sesuatu kenyataan yang boleh merosakkan hubungan persahabatan dan semangat silaturahim antara PR. Tindakan Ng bagai Jelongak Kerbau Rampung. Beliau tidak sedar telah terjerumus dalam perangkap BN-UMNO.
Lebih pantas! Dapatkan 4G P1 W1MAX

Pucuk pimpinan PR perlu mengambil perhatian yang serius tentang persefahaman dalaman yang kian rapuh. Sandiwara yang sentiasa dipermainkan oleh Hassan Ali, Ahli Exco DUN Selangor sungguh memeningkan kepala. Dakwaan sesetengah wakil rakyat PR dipinggirkan oleh pucuk pimpinan parti sungguh menyedihkan. Ditambah pula, ada wakil rakyat PR yang sanggup menuding jari kepada sahabat seperjuangan dan masih mabuk dalam kejayaaan tsunami politik 308. Selagi persefahaman dalaman tidak dipupuk sekarang, misi menuju ke Putrajaya agak malap dalam pilihan raya umum akan datang.

Sudah tiba masanya parti-parti PR didaftarkan dan digemblengkan di bawah suatu panji demi perpaduan untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat. Sungguhpun ideologi politik agak berlainan, keikhlasan dan kejujuran untuk merangkakan suatu mekanisme yang boleh dikongsi bersama dan diterima umum untuk kepentingan rakyat perlu disegerakan. Berbagai-bagai perangkap telah dipasang siap oleh BN-UMNO terutamanya dengan media perdana untuk memecahbelahkan PR.

Selagi wakil rakyat PR tidak sanggup mewujudkan persefahaman yang jitu dan sentiasa ingin menonjolkan diri dengan kenyataan akhbar yang membabi-buta, rakyat akan hilang kepercayaan dan menghukum dengan kertas undi dalan pilihan raya yang akan datang. Ingat, jangan berlagak bagai Jelongak Kerbau Rampung.

Isu jawatan Ketua Menteri digilirkan masih boleh menjadi perbalahan antara pemimpin baru PR agak memalukan. Sudah dimaklumkan umum bahawa misi perjuangan PR ialah mengembalikan keadilan untuk rakyat. Ketuanan Rakyat dijunjung. Biarlah kuasa rakyat yang menentukan bukan sahaja jawatan Ketua Menteri, bahkan Menteri Besar dan Perdana Menteri tidak harus dihadkan kepada kaum tertentu seperti mana mekasnime perkauman yang diamalkan oleh BN/UMNO. Pucuk pimpinan bukan berdasarkan warna kulit lagi. Sesiapa yang jujur, ikhlas, kreatif, bersih, cekap, dedikasi di samping nilai-nilai murni yang lain dan sentiasa tertakluk di bawah Tuhan akan diangkat sebagai pemimpin negara.

Pucuk pimpinan PR bukan sahaja perlu merangkakan strategi politik untuk memenangi pilihanraya akan datang, tetapi juga perlu merangkakan suatu mekanisme pentadbiran awam dari pusat hingga akar umbi yang lebih relevan untuk menggantikan sistem pentadbiran awam sedia ada yang ala-British yang dikatakan lembab, tidak effisen, membazirkan dan sebagainya yang tidak setara dengan kehendak dunia sekarang.

Kesampaian sesuatu pelaksanaan yang memanfaatkan rakyat tidak akan terbantut di tangan sesetengah pegawai yang tidak mengerti intergrati masing-masing. Selepas PR didaftarkan di bawah satu panji, suatu jawatankuasa khas untuk mekanisme pentadbiran perlu diwujudkan demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat kelak.

Perselisihan antara PR diharapkan akan berakhir selepas isu jawatan Ketua Menteri digilirkan ini. Masing-masing perlu menanyakan diri tentang kesanggupan untuk dedikasi kepada rakyat. Sesiapa yang cuba menangguk dalam air keruh, sila undur diri kerana misi perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk rakyat, bukan untuk agenda peribadi.

*Kenyataan media oleh ahli Parlimen Bakri (DAP), Er Teck Hwa pada 3 Oktober 2009.

No comments:

Post a Comment