Saturday, 24 October 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 22-10-2009
SOALAN NO: 24

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR Menyatakan :-

a)adakah Kementerian bersetuju dengan 11 tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Anti- Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman, Raub. Jika ya, apakah tindakan yang akan diambil. Jika tidak, mengapa; dan
b)jelaskan piawaian yang digunakan untuk penyingkiran alat ujian kimia yang dipasang tidak sampai enam hari.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di Pertua,

a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kementerian telah meneliti kesemua 11 tuntutan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Bertindak Menentang Panggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman, Raub, Pahang. Tuntutan-tuntutan ini meliputi pelbagai isu merangkumi isu keselamatan, perolehan maklumat dan penglibatan orang awam.

Berhubung dengan isu keselamatan, penghantaran cyanide dari pelabuhan ke premis lombong emas dan penggunaan di loji adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan antarabangsa iaitu, International Cyanide Management Code for the Manufacture, Transport and Use of Cyanide in the Production of Gold.

Berhubung aspek perolehan maklumat, Kementerian sedia memberi maklumat kepada pihak berkaitan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian berpendirian bahawa dokumen-dokumen berkaitan seperti mana diperuntukkan di bawah undang-undang.

Mengenai tuntutan supaya menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Kumpulan Pakar bagi mengingkatkan penglibatan orang awam, Kementerian berpendapat cadangan tersebut tidak sesuai. Ini ialah kerana Kerajaan mempunyai mekanisme serta kepakaran di agensi-agensi kerajaan seperti di Jabatan Mineral dan Geosains(JMG), Jabatan Alam Sekitar(JAS) dan Jabatan Kesihatan bagi memastikan operasi lombong emas mematuhi semua syarat yang ditetapkan terutamanya dalam aspek keselamatan awam.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada 25 Jun 2009 satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Dato’ T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah diadakan di Pejabat Biro Pengaduan Awam Negeri Pahang bagi meneliti kes aduan tersebut. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, JAS Pahang, JMG Pahang, Pejabat Daerah Raub dan aktivis alam sekitar serta beberapa orang awam dan wakil-wakil media. Walaubagai mana pun, pihak Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman tidak hadir walaupun dijemput. Mesyuarat tersebut memutuskan tiada kesan keracunan cyanide ditemui dan aktiviti melombong tidak menjejaskan kesihatan penduduk setempat, di samping mendapati syarikat perlombongan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan.

b) Untuk makluman Ahli Yang Berhomat, hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar(JAS) di sekitar kawasan Bukit Koman selama 6 hari(iaitu 2hb.- 7hb Julai 2009) dengan menggunakan portable gas detector, didapati tidak ada gas yang dikesan seperti yang dibangkitkan dalam aduan oleh Jawatankuasa Anti-Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman. Antara gas-gas yang boleh diukur oleh alat tersebut termasuklah gas karbon monoksida(CO), oksida nitrogen(NO) sulfur dioksida(SO₂), ammonia(NH₃), nitrogen dioksida(NO₂), klorin(CL₂), hidrogen sulfida(H₂S), mentana(CH₄) dan hidrogen sianida(HCN).

Oleh yang demikian, aduan yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa tersebut bahawa pelepasan gas menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan adalah tidak benar. Pihak JAS akan terus menjalankan program pemantauan berkala bagi memastikan operasi kilang mematuhi semua syarat yang dikenakan.

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa menetukan bahawa industri di negara ini termasuk aktiviti melombong emas tidak menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Ini adalah selaras dengan matlamat kita untuk mencapai gagasan, hasrat dan harapan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment