Wednesday, 2 December 2009

pembahasan dalam peringkat jawatankuasa (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air)

DR.2.12.2006 ms 52

2.45 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada P.29, di bawah Butiran 06500 dan Butiran 11600 bertajuk Rancangan Bekalan Air Negeri-Negeri. Di dalam ajaran agama Islam, tiga keperluan asas kehidupan iaitu air, api dan padang rumput adalah merupakan tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh diswastakan kerana ia melibatkan kepentingan semua rakyat. Namun demikian, pada tahun 1992, kerajaan Johor menswastakan institusi bekalan air kepada Equine Venture Sdn. Bhd. pada tahun 1994 kepada Southern Water Corporation sebagai operator rawatan air.

Pada tahun 1999 Jabatan Bekalan Air Negeri Johor telah diswastakan kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) sebagai pengendali operator rawatan air dan juga telah diberi hak sebagai pengedar bekalan air di negeri Johor bagi tempoh 30 tahun. Kerajaan pernah menyatakan bahawa Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) telah berjaya mengurangkan kadar air tidak bersih daripada 49% pada tahun 1999 kepada 29% pada tahun 2007. Walaupun demikian, kerajaan mengumumkan bahawa pelaksanaan penswastaan ini sudah gagal kerana syarikat-syarikat konsesi ini tidak dapat kadar pulangan tetap yang dimaktubkan di dalam perjanjian konsesi. Untuk menunaikan perjanjian konsesi tersebut, kerajaan negeri terpaksa memohon pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan. Setakat tahun 2007, pinjaman oleh kerajaan negeri telah pun mencecah jumlah RM5 bilion.

Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Johor sudah pun ditandatangani pada 11 Mac 2009. Dalam perjanjian
tersebut, pengambilalihan aset-aset fasiliti kerajaan negeri dan syarikat-syarikat konsesi dengan RM4.25 bilion. Manakala, dua syarikat rawatan air iaitu Southern Water Corporation dan Equine Venture Sdn. Bhd. juga akan tamat peranan mereka sebagai syarikat konsesi pada tahun 2012 dan tahun 2014. Ini bermakna pengurusan Aset Air Berhad perlu membayar sejumlah RM4.25 bilion dan memajakkan aset tersebut kepada Syarikat Air Johor Holdings.

Syarikat tersebut pula akan menjadi pengedar air tunggal di negeri Johor. Saya meminta Yang Berhormat Menteri menjelaskan adakah RM4.25 bilion ini telah dicerminkan dalam anggaran tahun dan di bawah tajuk apa?

Selain itu, sila jelaskan berapakah tanggungan kewangan pihak Kerajaan Persekutuan terhadap Syarikat Air Johor Holdings pada masa hadapan walaupun syarikat tersebut akan membayar sejumlah RM640 juta setahun untuk membeli air dari Pengurusan Aset Air Berhad.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment