Wednesday, 9 December 2009

Jawapan menteri dalam peringkat jawatankuasa secara bertulis (Kementerian Kewangan)

KK/BPKA/M5/(S)/687/5 Jd.4
PEMBERITAHU PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT, MALAYSIA

DARIPADA : TUAN ER TECK HWA (BAKRI)

PERTANYAAN : BERTULIS

Tuan Er Teck Hwa (Bakri) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan adakah benar bahawa Amanah Saham Johor (ASJ) membeli balik saham dari pelabur Bumiputera pada harga RM1.00 sedangkan dari pelabur bukan Bumiputera pada harga RM0.50. Sekiranya benar, mengapakah terdapat perbezaan pada harga belian balik?

JAWAPAN

Untuk makluman Yang Berhormat, Pelaburan Johor Berhad (PJB) iaitu syarikat anak kepada Johor Corporation (JCorp) menguruskan dua skim pelaburan amanah iaitu Amanah Saham Johor (ASJ) dengan saiz dana RM300 juta dan Dana Johor (DJ) dengan saiz dana RM500 juta.

Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama JCorp melalui syarikat anaknya iaitu Pelaburan Johor Bhd (PJB) dan Larkin Sentral Management Sdn Bhd (LSM) telah merangka strategi untuk memulihkan skim pelaburan Amanah Saham Johor (ASJ) ke tahap yang lebih baik. Perkara ini telah pun dimulakan pelaksanaannya dan dimaklumkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada 9hb Julai 2002. Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang pada bulan Oktober 2002 telah meluluskan Skim Pemulihan Harga ASJ. Menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Negeri Johor dan Johor Corporation pada 20 Januari 2004, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan Skim Pemulihan Harga yang dikenali sebagai Skim Belian Balik Bersyarat (SBBB) bagi ASJ. Skim Belian Balik Bersyarat adalah skim di mana pembelian balik unit-unit pelaburan secara berperingkat setiap tahun pada harga RM1.00 seunit bagi ASJ.

Untuk makluman Yang Berhormat, skim pelaburan ASJ hanya dibuka kepada pelabur-pelabur Bumiputera sahaja. Sehubungan dengan pelaksanaan Skim Belian Balik Bersyarat tersebut, pihak Pengurus telah membeli balik unit dari semua pemegang-pemegang unit pada harga RM1.00 seunit dan persoalan yang dibangkitkan berkenaan perbezaan harga diantara pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah tidak berlaku sama sekali.

Bagi skim pelaburan DJ pula, ianya terbuka kepada pelabur Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Menerusi MOU di antara Kerajaan Negeri Johor dan Johor Corporation pada 20 Januari 2004, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan Skim Pemulihan Harga yang juga dikenali sebagai Skim Belian Balik Bersyarat (SBBB). Di bawah Skim ini, pembelian balik unit-unit pelaburan di buat secara berperingkat setiap tahun pada harga RM0.50 seunit bagi semua pelabur Bumiputera dan Bukan Bumiputera, tanpa ada perbezaan sebagaimana yang dipersoalkan.

Jelasnya harga pembelian balik berbeza bukan kerana penjual adalah Bumiputera atau Bukan Bumiputera, tetapi perbezaan kerana skim pelaburan yang berlainan, iaitu Skim ASJ dan Skim DJ.

Disediakan oleh :
Encik Che Yusof Che Mat
KK(K)2
Sambungan - 3517/012-6433521

Disemak oleh :
Encik Mustafar bin Taib
TSBK(K)
Sambungan - 3573/019-3349797

Diluluskan oleh :
Datuk Nozirah Bahari
SBK
Sambungan - 3535/019-3349559

Tarikh : 2 Disember 2009

No comments:

Post a Comment