Thursday, 23 October 2008

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 14-10-2008

SOALAN
Y.B. TUAN ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan berapakah jumlah sekolah rendah dan menengah untuk golongan OKU di setiap daerah dalam negeri Johor. Berapakah bilangan pelajar dan nisbah jantina mengikut peringkat pendidikan di sekolah rendah dan menengah. Apakah bentuk subsidi dan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan untuk membantu mereka.

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,
Buat masa ini jumlah sekolah rendah dan sekolah menengah untuk murid kurang upaya di Johor adalah sebanyak 4 buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) iaitu SKPK Muar (Masalah Pendengaran), SKPK Batu Pahat (Masalah Pendengaran), SKPK Johor Bharu (Masalah Pendengaran) dan SKPK Princess Elizabeth (Masalah Penglihatan) manakala terdapat 1 buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) iaitu SMPKV Indahpura (Masalah Penglihatan, Masalah Pendengaran dan Masalah Pembelajaran).

Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut mewujudkan Program Pendidikan Khas Integrasi di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Berdasarkan data terkini, jumlah sekolah rendah yang terlibat adalah sebanyak 236 iaitu 21 (Prasekolah), 211 (Masalah Pembelajaran) dan 4 (Masalah Pendengaran) manakala jumlah sekolah menengah yang terlibat pula adalah sebanyak 102 iaitu 93 (Masalah Pembelajaran), 7 (Masalah Pendengaran) dan 2 (Masalah Penglihatan).

Bilangan pelajar yang mengikuti pendidikan di sekolah rendah adalah sebanyak 286 orang (4 SKPK) dan 3,063 orang (236 Program Pendidikan Khas Integrasi) manakala bilangan pelajar yang mengikuti pendidikan di sekolah menengah pula adalah sebanyak 184 orang (SMPKV Indahpura) dan 2,073 orang (102 Program Pendidikan Khas Integrasi).

Kerajaan telah menyediakan kemudahan yang bersesuaian mengikut golongan murid tersebut serta memberikan pelbagai subsidi dan insentif. Antaranya;

i. Elaun Khas Pelajar Kurang Upaya ( OKU ) sebanyak RM50.00 sebulan. Kerajaan telah mencadangkan elaun tersebut akan dinaikkan kepada RM150 sebulan berdasarkan Bajet 2009;
ii. Skim Pinjaman Buku Teks;
iii. Skim Insuran Takaful Kemalangan Kelompok;
iv. Pemansuhan yuran peperiksaan;
v. Pemberian pakaian seragam;
vi. Pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin;
vii. Program Susu Sekolah;
viii. Rancangan Makanan Tambahan dan sebagainya.

Bagi pembantu guru di sekolah berkenaan, kerajaan telah mencadangkan penyediaan bayaran insentif sebanyak RM200 sebulan dalam Bajet 2009.

KPM telah berjaya dalam membantu menyediakan pelbagai kemudahan kepada murid kurang upaya atau berkeperluan khas ini. Sesungguhnya KPM akan terus berusaha meningkatkan lagi kemudahan-kemudahan pelajaran untuk kanak-kanak ini.

No comments:

Post a Comment