Thursday, 20 November 2008

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH :

SOALAN

Y.B. TUAN ER TECK HWA [ BAKRI ] minta PERDANA MENTERI bahawa berapakah jumlah pembiayaan yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri kepada daerah-daerah di negeri Johor pada 2006/2007/2008 ? Nyatakan bila serta berapakah jumlah yang telah ditunaikan dan sebaliknya ,adakah pembiayaan tersebut telah dikenal pasti telah digunakan dengan sempurna.

JAWAPAN:Y.B. DATO' SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ,MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1,712,813,986.00 untuk tahun 2006, RM2,327,670,507.00 untuk tahun 2007, dan RM2,128,275,002.00 untuk tahun 2008, untuk Negeri Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Dari jumlah yang telah diperuntukkan bagi setiap tahun itu, sebanyak RM 1,342,271,083.30 telah dibelanjakan untuk tahun 2006, RM 1,461,356,424.37 untuk tahun 2007 dan RM 839,130,555.47 (setakat ini) untuk tahun 2008. Peruntukan dan perbelanjaan tersebut telah dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat. Pecahan peruntukan dan perbelanjaan mengikut daerah adalah sebagaimana yang dilampirkan dalam lampiran 1.

Selain daripada peruntukan di bawah RMK9 ini, Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga telah melaksanakan beberapa projek khas yang lain yang bertindak sebagai penambah (supplement) dan pelengkap (complement) kepada projek~projek yang dirancang di bawah RMK-9, terutamanya bagi kawasan luar bandar. Bagi membiayai projek-projek khas ini, sebanyak RM 16,397,051.20 telah dibelanjakan bagi tahun 2006, RM 26,407,440.54 untuk tahun 2007 dan RM14,114,550.00 (setakat ini) untuk tahun 2008 bagi keseluruhan Negeri Johor. Pecahan peruntukan dan perbelanjaan mengikut daerah adalah sebagaimana yang dilampirkan dalam lampiran 2.

Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk memastikan setiap projek-projek khas yang dipohonakan dinilai dengan teliti terlebih dahulu cadangannya dari pelbagai aspek, sebelum diluluskan, bagi memastikan ia wajar untuk dilaksanakan terutamanya dari aspek manfaat dan kegunaannya kepada rakyat. Di samping itu, pelaksanaan projek-projek ini juga sentiasa dipantau bagi memastikan ia akan dapat disiapkan dengan cepat, tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti, agar rakyat akan mendapat manfaat yang optimum dari projek-projek yang dijalankan.

Pelaksanaan projek-projek khas di bawah JPM ini akan diteruskan dari tahun ke setahun dan Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang munasabah dan termampu bagi membiayai projek-projek khas ini.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment