Tuesday, 11 November 2008

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 11-11-2008

SOALAN

Y.B. TUAN ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan berapakah projek perumahan dan bangunan kompleks tertunggak di seluruh negeri Johor. Apakah langkah yang diambil untuk menolong pembeli rumah. Apakah jenis tindakan yang telah dlambil terhadap para pemaJu yang gagal melaksanakan projek-projek mereka.

JAWAPAN:

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemajuan perumahan melibatkan dua kategori utama iaitu perumahan kediaman dan bangunan-bangunan komersial.Bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] pada masa ini, hanya meliputi projek-projek perumahan kediaman sahaja dan tidak merangkumi projek-projek komersial seperti rumah kedai, bangunan pejabat, kompleks membeli belah atau pusat komersial. Oleh yang demikian, KPKT tidak mempunyai maklumat berhubung projek komersial yang terbengkalai di negeri Johor. Bagi tempoh 1990 sehingga Jun 2008 terdapat sejumlah 37 projek perumahan terbengkalai di negeri Johor. Daripada jumlah tersebut 5 projek telah disiapkan dengan Sijil Layak Menduduki, 9 projek sedang dalam pembinaan manakala 23 masih terbengkalai.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPKT membantu pembeli-pembeli rumah yang terbabit dalam projek-projek terbengkalai dengan mengeluarkan satu surat pengesahan projek perumahan terbengkalai bagi membantu pembeli untuk berurusan dengan pihak pembiaya bagi tujuan-tujuan berikut :-

a) Penstrukturan semula bayaran balik pinjaman perumahan;

b) Pembekuan atau penangguhan bayaran faedah kena dibayar bagi tempoh masa projek masih terbengkalai dan belum dipulihkan bagi pembeli yang mengambil pinjaman perumahan Kerajaan ;

dan

C) Permohonan pengeluaran kali kedua wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membeli rumah lain.

KPKT juga telah menyenaraihitamkan syarikat pemaju perumahan dan ahli-ahli pengarah syarikat yang terbabit dalam projek perumahan terbengkalai daripada memohon lesen pemajuan perumahan serta permit iklan dan jualan yang baru.

No comments:

Post a Comment