Tuesday, 17 February 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN
DEWAN RAKYAT


PERTANYAAN :LISAN
DARIPADA :DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING]
TARIKH :17-02-09
SOALAN :15

DATUK HAJI MOHAMED BIN HAJI AZIZ [SRI GADING] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan:

(a) Berapakah jumlah sebenar keanggotaan ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan ahli Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang berdaftar di negara ini; dan

(b) Apakah fungsi RELA, JPAM dan berapakah gaji/upah yang dibayar kepada mereka bagi tugas yang dilaksanakan.

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat dari Sri Gading yang telah mengemukakan pertanyaan.

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jumlah ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang berdaftar ialah seramai 545,790 orang berdasarkan statistik sehingga 31 Januari 2009 manakala jumlah sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang berdaftar pula adalah seramai 60,458 orang.

(b) Fungsi RELA semasa darurat antaranya adalah memelihara keselamatan dan keamanan setempat sebelum diambil alih oleh pasukan keselamatan, melindungi penduduk awam ke kawasan penempatan yang lebih selamat, mengadakan geraksaraf dan perangsaraf, menjadi mata dan telinga kerajaan serta membantu pasukan keselamatan. Selain itu, RELA juga bertanggungjawab melaksanakan operasi menangkap pendatang asing tanpa izin melalui Ops Tegas, mengawal depoh Imigresen bermula pada 15 Januari 2008, membantu mengekalkan keselamatan dan kemerdekaan negara, membantu agensi penguatkuasaan dalam pencegahan jenayah, melaksanakan program-program kemasyarakatan dan ekonomi serta member bantuan semasa bencana. Fungsi JPAM pula adalah melatih seramai mungkin rakyat yang mempunyai pengetahuan dalam aspek keselamatan dan Pertahanan Awam berdasarkan Seksyen 3(2)c Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221). Berdasarkan Seksyen 3(2)a Akta 221 pula, JPAM bertanggungjawab untuk mengelola, menubuh, menyenggara, melengkapi, melatih dan mendisiplin Angkatan dan Perkhidmatan Pertahanan Awam. Selain itu, berdasarkan Seksyen 8(1) Akta 221, JPAM juga berfungsi untuk melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut.

Kerajaan telah meluluskan bayaran elaun sebanyak RM5.80 sejam untuk ahli RELA berpangkat Leftenan Muda hingga Kapten, manakala RM4.00 sejam untuk ahli biasa. Kadar elaun bagi sukarelawan JPAM pula adalah sebanyak RM5.80 sejam untuk bagi Pegawai Sukarelawan hingga Mejar, RM4.00 sejam untuk Prebet hingga Pegawai Waran 1 dan RM5.00 sejam untuk jurulatih. Elaun ini hanya dibayar apabila ahli RELA dan sukarelawan JPAM diminta menjalankan tugas.

No comments:

Post a Comment