Wednesday, 27 August 2008

Pertanyaan Lisan yang dijawap dalam Dewan Rakyat

Punca dari ms.14 Penyata Rasmi Parlimen Malaysia

8.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan berapakah jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di setiap daerah dalam negeri Johor. Berapakah jumlah hospital yang telah menyediakan kemudahan mesin dialisis pada tahun 2006, 2007, 2008. Apakah jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada pesakit.

Timbalan Menteri Kesihatan [Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad]: Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2007 jumlah pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis di hospital-hospital negeri Johor berjumlah 102 orang pesakit dan semua hospital-hospital Kementerian Kesihatan yang berjumlah 11 buah hospital di negeri Johor telah pun menyediakan kemudahan tersebut dan untuk terakhir kerajaan memberi bantuan subsidi sebanyak RM50 setiap kali rawatan bagi mereka yang mendapatkan rawatan di luar daripada hospital kerajaan, terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya
ialah apakah program yang telah dan akan dijalankan oleh kementerian untuk mendidik pesakit-pesakit buah pinggang supaya mendapat rawatan yang betul memandangkan keadaan pesakit buah pinggang kian bertambah adakah kementerian bercadang menyediakan lebih banyak mesin dialisis untuk keperluan ini. Terima kasih.

■1050
Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian Kesihatan sentiasa melihat keperluan-keperluan bagi menyediakan perkhidmatan mesin hemodialisis ini dari semasa ke semasa. Memang menjadi hasrat kita untuk menubuhkan setiap hospital ada pusatnya dan sehingga kini ada 122 dan kita akan tambah mengikut keperluan. Untuk soalan tambahan yang kedua, sebenarnya untuk merawat pesakit end-stage kidney failure dengan izin adalah disebabkan oleh dua faktor penyakit. Pertama penyakit darah tinggi dan kedua penyakit kencing manis. Jadi kalau kita hanya merawat mereka di hujung bila mereka sudah kena penyakit tersebut dan tidak boleh digunakan lagi buah pinggang. Maka kita kena hemodialisis tetapi rawatan yang betul ialah kita rawat mereka awal lagi bila mereka kena penyakit kencing manis dan penyakit darah tinggi. Sebab itu kita sudah pun menubuhkan satu unit khas dalam bahagian non-communicable diseases di mana kita tumpukan diseases burden dengan izin di peringkat awal bukan di peringkat akhir. Terima kasih.

Datuk Halimah binti Mohamed Sadique [Tenggara]: Terima kasih Yang Berhormat
Tuan Yang di-Pertua. Jangan ganggu saya!

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya kepada Yang Berhormat Menteri, kita
dengar tadi dari segi jumlah. Setiap tahun jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis ini semakin meningkat. Kempen gaya hidup sihat dan telah pun dilancarkan oleh kerajaan seolah-olah tidak berjaya merubah sikap rakyat ke arah pengamalan gaya hidup yang sihat. Saya nak tahu daripada kementerian, apakah tindakan dan usaha-usaha yang akan dijalankan oleh kerajaan dalam menilai kembali segala program dan juga kaedah yang telah dilancarkan untuk melahirkan masyarakat modal insan yang lebih sihat dan produktif pada masa yang akan datang.Terima kasih.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Orang Johor,jawab Johor.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Terima kasih. Semua keluarga Johor ya, tadi
pun Bakri. Terima kasih Yang Berhormat Tenggara. Yang Berhormat Tenggara sebenarnya dia lebih mahir daripada saya. Yang Berhormat Tenggara adalah Exco kesihatan tiga penggal, saya baru penggal kedua. [Ketawa]

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Boleh ganti, turunlah.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Yang Berhormat Pokok Sena, tunggu dululah.
Selepas 16 September...

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Nak bagi Tenggara.

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Tapi dia Menteri Alam Sekitar.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Ada adab sikitlah, kata daripada parti Islam,
tapi tidak ada adab. [Ketawa] Islam itu kan ada tiga...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tak apa, tak apa Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Janganlah marah.

Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Jawab dulu Yang Berhormat Menteri.

Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad: Tak marah, ini ketawa ni. [Ketawa] Nak
katakan bahawa Program Gaya Hidup Sihat yang kita lancarkan sejak tahun 1996, pelbagai program kita buat dan yang terakhir ini “Bagaimana Hendak Menangani Stres?”, itu tidak berjaya saya rasa tidak betul, tidak tepat. Akan tetapi macam biasa bila kita nak ubah tabii yang biasa menjadi tabii luar biasa atau luar tabii, itu susah Tuan Yang di-Pertua. Ia memerlukan iltizam yang kuat, iman yang teguh, baru dapat.

Umpamanya, kita semua tahu kita makan di sebelah utara atau sebelah pantai timur, kita makan nasi sampai lima kali sehari. Kalau dulu, dia makan nasi lima kali sehari kerana dia buat bendang, okey lah. Namun kini kerja di pejabat, dia makan tetap lima kali juga sehari dan makan yang begini kalau kita tidak ubah, kita akan jadi rakyat Amerika. Rakyat Amerika 63% daripada penduduk adalah yang besar dan kembang, obes. [Ketawa]

Jadi kita kena betulkanlah dan ini memerlukan bukan sahaja Kementerian Kesihatan dan semua masyarakat supaya kita mempunyai iltizam yang betul-betul teguh supaya kita dapat memahami penyakit tersebut. Insya-Allah kalau kita betul-betul serius, kita boleh menangani isuisu yang berkait rapat dengan gaya hidup kita. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment