Thursday, 5 November 2009

Ucapan dalam Pembahasan Bajet Peringkat Dasar

DR. 5.11.2009 ms89
4.52 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua bagi kerana memberikan peluang kepada saya untuk berucap dalam perbahasan bajet dalam Dewan yang mulia ini. Salah sejahtera kepada rakan-rakan terhormat yang memikul tanggungjawab membela nasib rakyat.

Di sini saya ingin menyentuh tentang keselamatan penjara di negara kita. Dalam peruntukan untuk keselamatan penjara kepada banduan dan orang tahanan dalam Anggaran Perbelanjaan Tahun 2010 muka surat 662. Walaupun perbelanjaan dalam aspek ini telah meningkat sebanyak 77.95% berbanding dengan angka merujuk kepada tahun 2009. Namun sedemikian, pembaikan kebersihan, keselamatan dan perubatan dalam penjara atau lokap, balai polis nampaknya tidak memberi apa-apa kesan yang ketara setakat ini.

Mengikut Laporan Hak Asasi Manusia 2008 yang diterbitkan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menunjukkan bahawa terdapat 1535 orang meninggal dalam penjara atau lokap pada tahun 2003 hingga 2007 dan terdapat 255 orang mati dalam penjara dan 13 orang meninggal dalam lokap pada tahun 2008. Ini merupakan satu perkara yang serius yang sepatutnya diutamakan kerana ia berkenaan dengan kematian seseorang semasa dalam tahanan dan mencabuli hak asasi seseorang manusia. Refom PDRM yang telah pun dijanjikan oleh bekas Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004. Namun, selama ini penyalahgunaan kuasa dan keganasan pihak polis masih berleluasa.

Perkhidmatan pihak polis amat lemah di mana akibat isu keselamatan di negeri Johor merebak sehingga rakyat Johor melancarkan bantahan tandatangan yang telah mencapai 100,000 tandatangan dan perhimpunan aman diadakan pada tahun 2007. Akibat itu, pihak kerajaan cuba sedaya upaya memperbaiki situasi di negeri Johor sehingga menubuhkan lebih banyak Balai Polis dan pindaan seramai 400 orang pegawai polis dari seluruh rakyat Malaysia khasnya dari negeri Selangor ke negeri Johor untuk menjaga keselamatan di negeri Johor.

Namun demikian, kes rogol, rompakan terus merebak dan tidak berhenti-henti. Kami mendesak bahawa pihak kerajaan patut menubuhkan IPCMC seperti mana yang dicadangkan oleh Royal Commission pada tahun 2005 kerana hanya satu badan yang bebas boleh menangani masalah-masalah itu. Kami menolak SCC (Special Complaint Commission) dengan izin yang tidak bebas yang ditubuhkan di Parlimen pada Oktober 2009 kerana ia diuruskan oleh BPR dan mendapat tentangan hebat dari NGO.

Tundaan perbicaraan atau open inquest di majistret atau mahkamah khasnya kematian dalam tahanan merupakan satu isu yang sentiasa berlaku. Contoh kes kematian Gah Yam Peaw yang disebabkan oleh tahanan pihak polis yang berlaku di Segamat telah mengalami tundaan sebanyak enam kali ataupun lebih kurang dua tahun. Apakah penyelesaian yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan? Kami mencadangkan bajet perlu merangkumi satu pertubuhan Royal Commision khas menjalankan penyiasatan ke atas kes-kes kematian dalam tahanan yang masih dalam tundaan dari tahun 1999 hingga 2009.

Tuan Yang di-Pertua, peruntukan khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebanyak RM1 juta untuk setiap kawasan Parlimen tidak kira kawasan Parlimen pemerintah ataupun Pembangkang masih membingungkan saya. Sebagai wakil rakyat dipilih dan diamanatkan tidak berhak mengetahui dan mengendalikan peruntukan tersebut. Malah kenyataan Menteri kebelakangan ini bahawa peruntukan tersebut akan dimandatkan kepada ketua UMNO tempatan untuk mengaturkan demi kebajikan dan keperluan rakyat yang disasarkan. Adakah ketua-ketua parti berkenaan merupakan pilihan rakyat? [Tepuk]

Bagaimana untuk mengenal pastikan kesampaian kepada kumpulan sasar tercapai dan penyelewengan kuasa dan sumber tidak berlaku? Adakah pengendalian peruntukan ini oleh wakil parti menepati sistem Demokrasi Berparlimen negara kita? Malah sesetengah pegawai ataupun pengarah PPNJ sanggup mengeluarkan kenyataan seperti peruntukan ini for ruling party only dengan izin. Kakitangan awam seperti ini lupa tentang tanggungjawab dan integriti mereka sebagai berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk parti pemerintah.

Kakitangan awam jenis ini bagai ‘jelangak’ kerbau kampung yang bermaksud sombong tetapi sebenarnya bodoh. Bukan sahaja peruntukan ini tidak boleh diharapkan oleh rakyat umum yang memilih wakil rakyat pembangkang, malah maklum balas pun tiada. Menteri yang menjawab soalan lisan saya pun memberikan jawapan yang sambil lewa seperti permohonan yang dikemukakan akan diteliti dan dinilai untuk dilaksanakan. Kalau jantan, terus terang jawablah dengan kenyataan bahawa peruntukan ini untuk parti pemerintah sahaja tanpa menghiraukan kehendak pilihan rakyat dan peruntukan ini tidak pernah dipertimbangkan dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. [Tepuk]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Hidup Bakri!

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Kita anak Johor, support sekali. [Ketawa]

Orang Muar pernah bermegah dengan adanya pembinaan laluan pintas yang dikatakan sebagai lebuh raya dalam bandar yang pertama di negeri Johor. Akan tetapi kualitinya tidak setimpal dengan kos pembinaan yang menelan perbelanjaan lebih daripada RM100 juta. Keadaannya yang cembung dan cekung membahayakan pengguna seakan menaiki roller coaster. [Ketawa]

Apabila hujan, air akan bertakung merata-rata. Kualiti infrastruktur ini telah mengecewakan rakyat tempatan. Seperti kata pepatah, ‘Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. [Tepuk]

Jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya pada sidang yang lepas bahawa kerja pembaikan akan disiapkan dalam bulan September 2009 tetapi jawapan lisan yang diterima pada minggu lepas ialah performance bond akan dilanjutkan setahun lagi memandangkan pihak JKR masih tidak puas hati tentang kualiti pembaikan pembinaan manakala kos pembaikan kerosakan menelan perbelanjaan sebanyak RM55.2 juta dan kos...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Bakri. Berhenti, Yang Berhormat. Sudah habis, Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Sedikit sahaja lagi. Sekejap.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, kalau tidak Yang Berhormat, kawan-kawan Yang Berhormat saya hendak beri
peluang mereka bercakap.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tinggal satu isu sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Minta maaf, Tuan Yang di-Pertua. Satu isu ini..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, sambung sahaja dalam Jawatankuasa, Yang Berhormat. Boleh gunakan teks yang sama.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment