Wednesday, 11 November 2009

Pembahasan mengenali dasar kementerian terhadap Lombongan emas di Raub



Petikan dari DR. 11.11.2009 mukasurat 41

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, mohon laluan.

Datuk Douglas Uggah Embas: Terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, mohon laluan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Bakri.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Yang Berhormat Menteri...

Datuk Douglas Uggah Embas: Kereta saya sudah parking, tidak ada lagi. Okey.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Menteri memberi peluang kepada Bakri. Perkara yang saya ingin bangkitkan di Dewan yang mulia ini ialah tentang dasar polisi kementerian. Di bawah kategori pelanggan yang disenaraikan oleh kementerian, pelanggan-pelanggan yang disenaraikan mengikut keutamaan. Dalam kategori tersebut orang ramai dinyatakan pada kategori akhir dan pada tahap yang sama dengan badan-badan swasta.

Persoalan yang berbangkit adalah bagaimana kementerian dapat memastikan, alam sekitar dapat memastikan orang awam sentiasa menikmati alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan tidak dicemari, dalam keadaan di mana terdapat badan atau syarikat-syarikat swasta yang mengganggu persekitaran mereka untuk mengaut keuntungan. Siapakah yang menjadi keutamaan orang awam atau syarikat? Saya bertanyakan begitu kerana isu ini timbul dalam kes ancaman toksik daripada operasi acidity memproses emas kepunyaan Raub Australian Gold Mining di Bukit Koman Raub, Pahang di mana operasi Raub Australian Gold Mining masih berterusan dan pihak kerajaan enggan mengakui atau menangani masalah yang timbul dan aduan-aduan penduduk yang dibangkitkan. Sekian terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Menteri memberi peluang kepada Bakri.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat...

Datuk Douglas Uggah Embas: Yang Berhormat Bakri ini kena baca peraturan. Walau bagaimanapun, saya perlu jawab apa-apa yang disebut oleh Yang Berhormat kerana itulah satu tuduhan yang berat. Kami Barisan Nasional memang sentiasa mengutamakan rakyat. Perdana Menteri telah mengatakan rakyat didahulukan. Inilah prinsip yang kita pegang, oleh yang demikian kita telah merangka pelbagai peraturan dan undang-undang untuk menentukan kepentingan rakyat sentiasa dijaga termasuk masalah-masalah alam sekitar. Mengenai masalah di gold mine di Raub, saya sedih kerana Yang Berhormat telah pun mengemukakan perkara ini kepada Parlimen dan kita pun telah jawab.

Bukan hanya kita menjawab. Kerajaan telah pun menyerahkan perkara ini kepada Biro Pengaduan Awam dan Timbalan Menteri dia tidak ada di sini, yang bertanggungjawab kepada Biro Pengaduan Awam pergi ke Kuantan menjemput semua pihak, termasuk pihak yang mengadu perkara ini untuk berjumpa dengan beliau dan memberitahu apa masalah dia. Di mana EIA tidak lengkap ataupun cara-cara syarikat itu beroperasi tidak tepat dan sebagainya, di mana ia mengakibatkan masalah kesihatan kepada rakyat. Yang pertama yang pengadu itu tidak hadir, mengapa tidak hadir? Mengapa takut hendak jumpa dengan Menteri, Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada Biro Pengaduan Awam, dia hendak tahu masalahnya.

Dia jadi pengadil, tetapi para pengadu ini tidak hadir. Mengapa tidak hadir kerana mereka tahu bahawa apa yang dituduh adalah palsu, tidak benar. Yang kedua tuduhan bahawa mereka mengadu sakit ke hospital, jabatan kesihatan pun telah memberi taklimat kepada kami, bahawa tidak ada seseorang pun yang melaporkan kepada mereka bahawa ada rakyat sakit kerana akibat masalah gold mine di Bukit Koman ini. Jadi saya berharap....

Puan Hajah Fuziah Salleh [Kuantan]: Mohon laluan, mohon penjelasan.

Datuk Douglas Uggah Embas: Tunggu sekejap. Jadi kita berharap...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, ini tadi saya bagi Notis kepada Yang Berhormat kalau hendak bercakap sekarang, Menteri sudah habis dia bagi peluang kepada Yang Berhormat Bakri sahaja.

Puan Hajah Fuziah Salleh [Kuantan]: Soalan yang sama.

Datuk Douglas Uggah Embas: Kita...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Walaupun soalan sama, dalam Jawatankuasa boleh tanya.

1230
Jadi kita berharap pihak sebelah faham bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak hanya memihak kepada pihak swasta. Bagi kita, kebajikan rakyat adalah penting sekali. Namun begitu, kalau Yang Berhormat datang sini duduk, kita beri ruang untuk mereka mengadu supaya dapat diadili oleh pihak tengah dan yang mengadu itu tidak hadir, siapa yang salah? Terima kasih Yang Berhormat.

No comments:

Post a Comment