Monday, 7 July 2008

Ucapan Penangguhan:Pembinaan Infrastruktur Yang Ketinggalan Zaman

UCAPAN-UCAPAN PENANGGUHAN
Pembinaan Infrastruktur Yang Ketinggalan Zaman

■ 11.21 mlm.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk memberi ucapan penangguhan di Dewan yang mulia ini. Sebagai Wakil Rakyat kawasan Bakri, saya ingin di sini menyuarakan beberapa kekecewaan saya terhadap isu tempatan dan pembinaan infrastruktur yang jauh ketinggalan zaman.

Tuan Yang di-Pertua, sudah hampir 51 tahun kita merdeka tetapi masih lagi banyak pembinaan infrastruktur yang ketinggalan zaman. Saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat di sini berpengalaman seperti saya menerima aduan seperti lampu jalan tidak ada, jalan rosak dan sebagainya yang sepatutnya merupakan tanggungjawab atas kerajaan tempatan, tetapi hingga kini longkang dan parit yang masih sempit dan cetek mula mengakibatkan banjir kilat.

Bandar Muar, Kampung Baru Bakri sebagai contoh sering dilanda banjir kilat dan ini telah menjadi mimpi ngeri penduduk. Apakah langkah yang bakal diambil pihak kerajaan untuk sekali gus menyelesaikan masalah ini ataupun apakah nasib rakyat akan terus dibiarkan begitu sahaja di negeri kubu kuat Barisan Nasional? Ini jelas menunjukkan kerajaan tempatan yang dilantik, bukan dipilih, tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana mereka ini tidak risau kedudukan mereka tergugat. Maka lahirnya kumpulan yang bermaharajalela di tempat yang telah dilihat berani menentang atau tidak mengambil peduli arahan Kerajaan Pusat.

Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya berharap kerajaan tidak lagi menjadi seperti dahulu, cakap banyak tetapi tidak buat kerja. Sekiranya tidak, jangan salahkan rakyat sekali lagi menolak dan menukar parti pemerintah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila menteri.

■ 11.24 mlm.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Robert Lau Hoi Chew]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat dari Kawasan Bakri yang telah membangkitkan isu mengenai tadbir urus pihak berkuasa tempatan atau PBT.

Seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, PBT adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pentadbiran PBT pula adalah tertakluk kepada Akta 171 bagi menjalankan fungsi-fungsi kerajaan tempatan. Di antara fungsi PBT adalah untuk menyedia dan menyelenggarakan kemudahan-kemudahan awam seperti infrastruktur jalan, parit dan longkang, taman awam, dewan orang ramai dan lain-lain.

Tuan Yang di-Pertua, usaha mengatasi masalah banjir merupakan usaha bersepadu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau KPKT, bersama-sama dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain sememangnya memandang serius ke atas masalah banjir kilat yang sering kali melanda kawasan-kawasan pihak berkuasa tempatan, PBT, termasuk di kawasan Parlimen Bakri.

Banjir kilat di kawasan PBT pada kebiasaannya akan terjadi apabila berlakunya hujan lebat, jika infrastruktur dan sistem saliran seperti parit dan longkang tidak diselenggarakan dengan baik. Oleh hal yang demikian, bagi mengurangkan berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan PBT di seluruh negara, KPKT dari masa ke semasa mengingatkan semua PBT agar mengambil langkah-langkah perlu bagi menangani dan menghadapi bencana banjir di kawasan mereka. Antara langkah-langkah yang dicadangkan adalah:
(i) membuat persediaan awal bagi menggalakkan berlakunya banjir dengan menyelenggarakan sistem perparitan dan saliran dari dipenuhi dengan sampah-sarap yang boleh menyebabkan aliran air tersekat;
(ii) membersihkan parit dan longkang secara berkala; dan
(iii) memberi keutamaan kepada projek-projek tebatan banjir.
Bagi kawasan di luar pentadbiran PBT, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bolehlah memainkan peranan dengan mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan berlakunya kejadian banjir seperti:
(i) melaksanakan projek-projek tebatan banjir;
(ii) mengadakan pelan induk tebatan banjir dan juga pelan induk saliran bagi bandar-bandar utama; dan
(iii) memperkenalkan dan memastikan kaedah kawalan banjir di punca atau controlled absorb, dengan izin. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPKT tidak menyediakan peruntukan khas untuk melaksanakan projek-projek bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan-kawasan PBT.

Walau bagaimanapun, peruntukan yang disalurkan kepada PBT di bawah Program Pembangunan Projek-projek Kecil boleh digunakan oleh PBT untuk melaksanakan inisiatif bagi mengatasi masalah banjir seperti kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan dan kerja-kerja membina serta menaik taraf longkang dan parit.

Tuan Yang di-Pertua, usaha yang berterusan telah diambil untuk meningkatkan tahap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan di PBT. Beberapa penambahbaikan sistem dan prosedur kerja telah pun dilaksanakan supaya perkhidmatan yang ditawarkan lebih custom centric, dengan izin. Contohnya seperti OAC, CCC, garis panduan pengeluaran lesen perniagaan dan lesen komposit hotel serta sistem star rating PBT. Penambahbaikan ini menjadikan PBT lebih mesra pelanggan serta menyumbang kepada pembangunan setempat dengan lebih efektif. Sekian.

No comments:

Post a Comment