UCAPAN-UCAPAN PENANGGUHAN
Tapak Pelupusan Sampah Bukit Bakri
Tapak Pelupusan Sampah Bukit Bakri
■ 8.30 mlm.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk memberi ucapan penangguhan di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai Wakil Rakyat Kawasan Bakri, saya ingin di sini menyuarakan kekecewaan saya terhadap penempatan tapak pelupusan sampah Bukit Bakri merupakan salah satu faktor yang sedang mengancam kesihatan penduduk dan alam sekitar. Pihak berkuasa tempatan nampaknya tidak ada sebarang penyelesaian dan keadaan dibiarkan begitu sahaja tanpa mempedulikan banyak aduan yang terkumpul seperti sampah di situ.
Tuan Yang di-Pertua, pembiakan aedes, sesak nafas, pening dan muntah sering berlaku ke atas penduduk yang menghuni di sekitar kawasan pelupusan sampah. Segala ini adalah masalah yang boleh diatasi tetapi sehingga sekarang kita tidak lihat keazaman pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan. Saya menyeru agar kementerian yang berkaitan menyelaras dan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk menaik taraf tapak pelupusan sampah tersebut atau sebaik-baiknya memindahkan ke tempat yang lain. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat Menteri.
■ 8.32 mlm.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Robert Lau Hoi Chew]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tapak pelupusan sisa pepejal Bukit Bakri terletak di Lot PBT 4007, Jalan Kebun Sayur, Bukit Bakri, Muar, Johor telah beroperasi sejak tahun 1986 dan telah mencapai jangka hayat maksimum bagi tahun 2008.
Keluasan tapak adalah 14.6 hektar dengan anggaran kadar pelupusan sebanyak 200 tan sehari. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia maklum masalah yang dihadapi oleh tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri. Justeru KPKT dalam perancangan membina satu tapak baru bagi menggantikan tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri berkenaan.
Walau bagaimanapun, sementara menunggu tapak baru dikenal pasti dan dibina, kementerian saya telah menyenaraikan tapak pelupusan sisa pepejal di Bukit Bakri untuk dinaikkan taraf ke kategori sanitary yang bertujuan untuk mengawal pencemaran alam sekitar. Proses menaik taraf dijangka bermula pada akhir tahun 2008. Sekian.
No comments:
Post a Comment