Wednesday, 17 June 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 17-06-2009
SOALAN NO: 2

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan tujuan menubuhkan satu battalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dan adakah Tentera Wataniah akan diberi tugas semasa pilihan raya dan adakah mereka diperlukan mengundi melalui undi pos.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Ingin dimaklumkan di Dewan yang mulia ini bahawa Askar Wataniah telah memainkan peranan penting dalam pertahanan negara sebelum dan selepas merdeka. Pasukan sukarela telah diwujudkan sejak tahun ‘1861’ lagi. Pasukan ini terus berkembang dan beberapa pasukan baru telah ditubuhkan seperti Malay Federated Volunteer Force, dengan izin, Arm Federated Malay State Volunteer Force, dan juga Straits Settlement Volunteer Force.

Apabila tercetus Perang Dunia Kedua, semua pasukan sukarela ini telah sama-sama berganding bahu dengan angkatan tetap menentang tentera Jepun. Tercetusnya darurat tahun 1948, satu pasukan sukarela iaitu Pasukan Kawalan Kampung ataupun Home Guard telah ditubuhkan. Pasukan ini telah memainkan peranan yang sangat penting semasa darurat dan turut melawan komunis yang diketuai oleh Chin peng. Pada tahun 1958, The Territorial Army Ordinance 1958 digubal dan pasukan sukarela ini telah diinstitusikan sebagai Askar Wataniah.

Tuan Yang Dipertua,

Penubuhan kompeni Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen bukan perkara baru. Penubuhannya telah diilhamkan oleh Yang Amat Perhormat Perdana Menteri sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 2000. Sehingga November 2007 sebanyak 87 kompeni telah ditubuhkan di kawasan-kawasan Parlimen dan tujuan utama pasukan Askar Wataniah adalah seperti berikut:

(i) membantu ganti atau angkatan tentera tetap darat di masa darurat dan perang;

(ii) membantu Tentera Darat dalam operasi keselamatan dalam negeri; dan

(iii) membantu pihak berkuasa awam semasa bencana alam.

Atas penubuhannya bergantung kepada jumlah penyertaan anggota tempatan, penyertaaan minima adalah seramai 100 orang dan penubuhan ini juga tidak melibatkan wujudnya unit-unit baru mahupun pembinaan kem-kem baru. Organisasi serta kem-kem akan menggunakan rejimen Askar Wataniah yang sedia ada. Setakat ini kerajaan belum bercadang untuk menambah bilangan rejimen. Bilangan yang sedia ada sebanyak 16 rejimen mencukupi. Ini kerana untuk mencapai sasaran nisbah 1:1 berbanding anggota tetap di samping turut sama memperkukuhkan lagi pertahanan menyeluruh ataupun konsep “Hanru”.

Perlu dijelaskan di sini, Tuan Yang Dipertua, bahawa rancangan penubuhan Askar Wataniah ini tidak ada niat atau kaitan dengan agenda politik. Saya ulang, “tidak ada niat atau sebarang kaitan dengan agenda politik” dan ia bukan juga ditubuhkan untuk mengendali pilihan raya umum. Oleh kerana Askar Wataniah ini adalah orang biasa maka mereka tidak berhak mengundi secara pos kecuali angkatan tentera tetap ATM sahaja.

No comments:

Post a Comment