Wednesday, 21 October 2009

Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
TARIKH : 21-10-2009
SOALAN NO: 16

SOALAN

Y.B. ER TECK HWA [ BAKRI ] minta MENTERI DALAM NEGERI Menyatakan :-

(a) senarai perbezaan antara S-5 dan AV4 dari segi harga perolehan, kos penyelenggaraan dan prestasi keupayaan kedua-dua kenderaan; dan

(b) kenapa tidak utamakan penggunaan kenderaan AV4 buatan Malaysia dan apakah punca tersebut.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos perolehan 4 unit kereta perisai jenis S5 adalah sebanyak RM11.5 juta (RM11,498,910.00) meliputi kos Initial Spare Part Requirement (ISR), latihan pengendalian dan penyaraan kepada mekanik PDRM dan lawatan sebelum pemeriksaan (Pre-Delivery Inspection, PDI) di Korea Selatan.

Tuan Yang Di Pertua,

Perolehan kereta perisai berkenaan adalah selaras dengan memorandum persefahaman (Memorandum of Understanding, MOU) di anatara Kerajaan dan United Nation Department of Peace Keeping (UNDPKO) bagi penugasan 140 pegawai dan anggota PDRM di Timor Leste (UNMIT). Kereta perisai berkenaan adalah memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), mampu dibekalkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan didapati sesuai untuk penugasan setelah ujian kesesuaian dijalankan.

Tuan Yang Di Pertua,

Perolehan kerata perisai AV4 buatan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada ketika itu kerana ia masih lagi dalam peringkat prototaip dan rekabentuknya menjurus kepada pengugasan ketenteraan. Perolehan juga tidak dapat diteruskan kerana tempoh masa yang telah ditetapkan oleh UN adalah terlalu singkat. Sekiranya perolehan tidak dibuat ianya akan menjejaskan keselamatan pegawai dan anggota PDRM yang bertugas.

No comments:

Post a Comment